LEEDS: Manchester City kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris selepas membelasah Leeds United 4-0 di Elland Road awal pagi tadi.
Liverpool terdahulu merampas kedudukan pendahulu selepas menang 1-0 di Newcastle United untuk memberi tekanan kepada City.
Skuad The Citizens bagaimanapun menunjukkan tindak balas sempurna untuk kembali memimpin liga dengan kelebihan satu mata.
Bintang tengah Sepanyol, Rodri menanduk bola untuk memberi gol pembukaan buat pasukan pelawat pada minit ke-13.
Jaringan Nathan Ake pada minit ke-54 menggandakan kedudukan, sebelum Gabriel Jesus dan Fernandinho menambah derita tuan rumah dengan meledak dua lagi gol.
Kemenangan keempat berturut-turut City (semua pertandingan) meletakkan mereka kembali di tangga teratas dengan 83 mata daripada 34 perlawanan ketika liga berbaki empat saingan.
Leeds pula tergelincir ke tangga ke-17, lima mata di atas zon penyingkiran tetapi telah bermain lebih dua perlawanan daripada Everton di tangga ke-18 .
“Kami bergelut pada babak pertama, namun berjaya mengawal permainan di separuh masa kedua, malah boleh menjaringkan lebih banyak gol.
“Ia keputusan luar biasa buat pasukan, motivasi terbaik sebelum bertandang ke Madrid (separuh akhir kedua Liga Juara-Juara menentang Real Madrid,” kata pengurus City, Pep Guardiola. – AGENSI