IPOH: Pemain Perak FC yang mendapat semangat baharu berikutan pertukaran pemilik bertekad memburu kemenangan apabila menentang UiTM FC dalam saingan Liga Perdana di Stadium Perak malam ini.
Kapten Bos Gaurus, Firdaus Saiyadi berkata, kemenangan akan dijadikan hadiah kepada pemilik baharu kelab, XOX Berhad yang membeli Perak FC daripada Impact Media and Communications Sdn. Bhd. (IMC) melalui XOX Pro Sport Sdn. Bhd., Rabu lalu.
“Kami akan beri persembahan terbaik untuk mengutip kemenangan ketiga.
“Ia akan memadam defisit mata yang kami alami berikutan hukuman pemotongan mata oleh pengendali liga terhadap Perak FC .
“Selain itu ia sebagai hadiah kepada XOX,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemain tengah yang lebih mesra dengan panggilan Fi itu mengakui, pemain Perak teruja mendapat perkhabaran bahawa tunggakan gaji mereka akan dibayar dalam minggu ini .
“Syukur alhamdulillah, ini perkembangan baik. Pasukan Perak juga akan berubah wajah selepas ini dengan penambahan pemain termasuk awang import.
“Kami memandang ke hadapan untuk menikmati musim yang cemerlang selepas jendela kedua ini,” katanya.
Katanya, pemain Perak teruja dengan prospek akan diperkuatkan oleh Indra Putra Mahayuddin, Wan Zack Haikal, Zamer Selamat dan Ahmad Syamim Yahya selepas ini.
Selepas mengharungi tujuh perlawanan, Perak FC kini menghuni tangga tercorot dengan negatif tiga mata, gara-gara pemotongan mata yang dikenakan terhadap mereka angkara isu gaji.
Bos Gaurus melakar dua kemenangan dan kalah lima daripada pertemuan terdahulu. – UTUSAN