Azizulhasni tetap impi pingat emas Olimpik Paris 2024

Azizulhasni tetap impi pingat emas Olimpik Paris 2024

AZIZULHASNI Awang ketika menyertai sidang akhbar dalam talian yang dianjurkan Institut Sukan Negara semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Biarpun baru berdepan detik paling menakutkan dalam hidupnya dengan menjalani pembedahan jantung bulan lalu, jaguh berbasikal negara, Datuk Mohd. Azizulhasni Awang tetap bersemangat untuk memburu pingat emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Menyifatkan dirinya bagaikan ‘hidup kembali’ sebaik sahaja sedarkan diri selepas men­jalani pembedahan pada 21 April lalu, pemenang dua ­pingat Sukan Olimpik itu berkata, beliau tahu dirinya kental untuk menghadapi ujian getir dan mengharapkan rakyat Malaysia terus menitipkan doa.

Kata Azizulhasni, selepas berdepan insiden ngeri tertusuk serpihan kayu trek sepanjang 20 sentimeter di betisnya pada perlumbaan Siri Piala Dunia Klasik di Manchester 2011, dia kini le­bih kuat menghadapi dugaan.

Ujian yang dihadapi anak jati Dungun, Terengganu kali ini lebih berat apabila jantungnya mengalami masalah anomalous aortic origin of right coronary artery (AAORCA) yang membawa risiko serangan jantung dan kematian mengejut jika tidak dirawat segera.

“Saya perlukan sokongan dan doa daripada semua, supaya saya cepat sembuh dapat kembali dan dapat membuat latihan seperti biasa. Saya mengharapkan sokongan semua untuk kembali ke puncak.

“Ia tidak mudah tetapi saya pernah melalui situasi ini dulu, ketika tersusuk kayu di kaki. Perkara pertama, saya perlukan kecekalan hati, yang mana saya ada kekuatan itu tapi yang keduanya, sistem sokongan…keluarga, penaja dan semua pemegang taruh amat diperlukan.

“Saya rasa, kalau mendapat sokongan semua tidak mustahil impian ke Paris untuk menggapai emas masih misi relevan. Cuma buat masa sekarang, saya ketepikan perkara itu dulu dan fokus kepada kesihatan,” kata Azizulhasni yang menjalani pembedahan hampir tiga jam.

Atlet berusia 34 tahun berkata, dia amat bersyukur diberikan peluang oleh Allah S.W.T untuk terus bernafas dan ia se­perti memberi semangat baharu kepadanya memburu kejayaan.

Azizulhasni akan terlepas Sukan Komanwel Birmingham dan Sukan Asia Hangzhou tahun ini, tetapi berazam untuk bersaing di Olimpik Paris.

Jelas Azizul, dia mula berasa sakit di bahagian dada sejak menjalani latihan awal Februari lalu sebelum merujuk situasi itu kepada pakar perunding jantung kardiologi di Melbourne iaitu doktor Barveen Aisha Abu Baker bagi menjalani pemeriksaan dan ujian yang lebih teliti.

Naib juara Olimpik Tokyo 2020 itu melakukan pembedahan segera memandangkan penyakit berkenaan akan menyebabkan keadaannya bertambah parah dan berisiko tinggi terkena serangan jantung.

“Saya ada bertanya kepada pakar perubatan jika saya berhenti bersukan adakah penyakit berkenaan akan berkurangan atau sembuh namun mereka menyatakan bahawa keadaan akan bertambah buruk lagi.

“Selepas melakukan pembedahan, keadaan saya memang lain kerana cepat penat dan ada satu ketika berasa terlalu letih dan tidur seharian,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, mereka sentiasa membantu Azizulhasni melalui proses pemulihan.

“Kos pembedahan beliau dibiayai melalui skim insurans yang dicarum oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

“Azizul berehat di rumah beliau di Melbourne Australia di bawah pemantauan pasukan perubatan.

“Pasukan pakar perubatan sukan ISN dan pakar kardiologi sukan Institut Jantung Negara pada masa sama memperhalusi beberapa kriteria serta elemen penting dalam merangka program pemulihan Azizul yang turut meliputi sokongan sains sukan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya