PETALING JAYA: Bek kanan Harimau Malaya bawah 23 (B-23), Azam Azmi Murad dibenarkan keluar hospital lewat pagi tadi selepas mengalami kecederaan ketika menentang Thailand dalam aksi pembukaan Sukan SEA 2021 di Vietnam.
Pertahanan Terengganu berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan kepala akibat terhantuk dengan pemain Thailand, Jaturapat Sattham pada minit ke-62.
Malaysia menang 2-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Stadium Thien Truong hasil jaringan Danial Asri dan Azfar Fikri Azhar.
Pengendali Malaysia B-23, Brad Maloney bergegas ke Hospital Province Nam Dinh, Vietnam sejurus tamat perlawanan malam tadi bagi melihat keadaan Azam.
Malaysia akan menentang Laos dalam aksi kedua Kumpulan B, Rabu ini, diikuti Singapura (Sabtu) dan Kemboja pada 16 Mei. – UTUSAN ONLINE