PETALING JAYA: Lee Zii Jia mengakui, mempunyai isu peribadi yang menyebabkan dia terlepas beberapa sesi latihan skuad Piala Thomas, namun keputusan itu dibuat hanya selepas berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Jaguh No. 7 dunia itu mencetus tanda tanya apabila kelibatnya tidak kelihatan pada kem latihan pusat sejak Selasa lalu, malah tidak menyertai kejohanan simulasi yang dianjurkan BAM, Rabu lalu.
Enggan mendedahkan apakah isu yang dihadapi sehingga dia tidak dapat menyertai rakan-rakan lain selama beberapa hari, pemain berusia 24 tahun itu sebaliknya menegaskan, dia akan memainkan peranannya untuk menghadiahkan mata sepanjang kejohanan di Bangkok dari 8-15 Mei.
“Jika tengok latihan hari ini pun, (Ow) Yew Sin dengan (Teo) Ee Yi pun tidak datang, jadi saya rasa tiada (masalah) apa pun. Saya tiada komen berkaitan perkara ini sebab saya pun ada hal peribadi.
“Saya juga sudah memaklumkan kepada BAM dan mereka beri saya fleksibiliti. BAM bagi kebenaran untuk saya tidak hadir latihan,” katanya yang ditemui pemberita pada hari terakhir latihan berpusat Piala Thomas di Bukit Kiara, pagi semalam.
Perkara itu turut disahkan Pengarah Kejurulatihan Perseorangan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann bahawa pemain itu ada meminta kebenaran kepada BAM untuk membuat latihan persendirian pada petang Selasa dan pagi Rabu.
Dalam perkembangan berkaitan, Zii Jia mahu memberi tumpuan penuh kepada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Filipina yang akan membuka tirai pada 26 April hingga 1 Mei depan memandangkan ini penampilan sulungnya dalam pertandingan itu.
“Ini kali pertama saya bertanding dalam kejohanan Asia jadi saya mahu lakukan yang terbaik dan mendapat keputusan perlawanan yang memuaskan,” katanya.