PETALING JAYA: Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli berazam untuk menjadikan Sukan SEA Vietnam pada Mei nanti sebagai medan untuk membuat ‘kepulangan semula’.
Zaidatul Husniah berkata, dia ketika ini sudah bebas 100 peratus daripada kecederaan lutut kanan (Anterior Cruciate Ligament) dan sedang menjalani latihan sebagai persiapan ke sukan dwitahunan itu.
“Sekarang persiapan macam biasa dan saya memberikan fokus yang terbaik dalam latihan. Kalau ikutkan, ada Terbuka Singapura selepas ini, tetapi saya masih tunggu keputusan jurulatih.
“Sekarang tahap kecederaan memang sudah 100 peratus pulih, jadi saya hanya fokuskan kepada latihan seperti biasa untuk kekalkan momentum,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mengulas mengenai sasaran di Sukan SEA Vietnam, Zaidatul Husniah yang lebih mesra disapa adik berkata, dia berharap dapat melakukan catatan masa yang lebih baik dalam acara yang disertai.
“Harapan saya mahu buat catatan masa yang lebih baik di Sukan SEA…sudah sua tahun sebelum ini berdepan kecederaan. Apabila diberikan peluang buat comeback saya akan berikan yang terbaik,” kata Zaidatul Husniah.
Pemenang pingat perak 100 meter (m) wanita pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur itu yang baru pulih daripada pembedahan lulut kanan kedua awal tahun lalu, sudah kembali menjalani latihan di bawah bimbingan jurulatih, M. Balamurugan Oktober lalu.
Pada edisi Sukan SEA 2019 di Filipina, Zaidatul Husniah gagal mempertahankan pingat perak dimenanginya, apabila sekadar menamatkan saingan final di tempat keenam daripada keseluruhan lapan peserta dengan catatan 11.84s. – UTUSAN