LONDON: Badan tenis profesional ATP serta WTA menyelar tindakan Wimbledon melarang pemain Rusia dan Belarus daripada bertanding dalam kejohanan Grand Slam itu tahun ini.
Ini kali pertama pemain tenis Russia dilarang menyertai kejohanan elit susulan pencerobohan negara itu ke atas Ukraine.
ATP, WTA serta Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) sebelum ini membenarkan pemain Russia dan Belarus terus bertanding di bawah bendera berkecuali, selain tidak dibenarkan memainkan lagu kebangsaan.
Larangan yang dikenakan Wimbledon itu bermakna kejohanan yang akan diadakan dari 27 Jun hingga 10 Julai akan berlangsung tanpa pemain lelaki No. 2 dunia, Daniil Medvedev dari Russia serta pemain wanita No. 4 dunia dari Belarus, Aryna Sabalenka.

Dalam satu kenyataan semalam, All England Lawn Tennis Club (AELTC) berkata, mereka perlu memainkan peranan dalam usaha kerajaan, industri, institusi sukan dan kreatif ‘mengehadkan pengaruh global Russia melalui cara yang paling kuat.’
Persatuan Tenis Profesional (ATP) berkata, keputusan Wimbledon adalah ‘tidak adil’ dan berpotensi merosakkan tenis.
“Diskriminasi berdasarkan kewarganegaraan juga merupakan pelanggaran perjanjian kami dengan Wimbledon yang menyatakan bahawa kemasukan pemain adalah berdasarkan Kedudukan ATP semata-mata.
“Sebarang tindakan sebagai tindak balas kepada keputusan ini kini akan dinilai melalui perundingan dengan lembaga pengarah dan majlis ahli kami,” kata badan induk tenis lelaki itu.
Persatuan Tenis Wanita (WTA) pula berkata, ia ‘sangat kecewa’ dengan keputusan itu dan kini ‘menilai langkah seterusnya dan tindakan yang boleh diambil berhubung keputusan ini’.
“Atlet individu tidak seharusnya dihukum atau dihalang daripada bertanding kerana dari mana mereka berasal, atau keputusan yang dibuat oleh kerajaan negara mereka,” kata WTA. – AGENSI