GEORGETOWN: Teka-teki mengenai status Ketua Jurulatih Penang FC, Tomas Trucha yang tidak lagi kelihatan ketika sesi latihan dijalankan akhirnya terjawab apabila dia diberikan cuti atas faktor keselamatan.
Facebook Penang Football Club dalam satu kenyataan hari ini berkata, pengurusan tertinggi skuad Harimau Kumbang memaklumkan, Jurgen Klopp’ Malaysia itu dinasihatkan mengambil cuti rehat selepas mendapat nasihat pihak polis.
“Dengan mengambil kira nasihat PDRM (Polis Diraja Malaysia), berdasarkan bentuk kecenderungan kemarahan penyokong yang dikhuatiri boleh mendorong tindakan bersifat khianat jenayah daripada mana-mana individu yang kurang bijaksana dalam membuat apa-apa pertimbangan.
“Beliau bukan direhatkan atau dalam proses diambil tindakan disiplin. Hanya dalam proses perundingan penyelesaian yang adil dan ihsan yang melibatkan semua pihak berkepentingan,” katanya.
Tambah kenyataan itu, pihak berkepentingan termasuk penyokong Penang FC, pemegang kad bermusim serta ribuan pengguna barangan Penang FC yang mempunyai hak untuk dilindungi sebagai ‘pelabur’ secara tidak langsung dalam pengukuhan dana syarikat (Kelab).
“Mengenai sistem gaji yang telah dibentuk oleh kelab mulai Mei 2021, ia bukan sahaja membolehkan pembayaran gaji dibuat secara teratur malah membolehkan proses pembayaran gaji seawal 25 haribulan.
“Jika pun ada kelewatan, ia hanya disebabkan had pengeluaran sehari yang ditetapkan oleh pihak bank untuk membolehkan pelepasan secara ‘bulk’ dibuat berperingkat.
“Pembayaran ini termasuk pembayaran caruman KWSP, Socso dan potongan cukai pendapatan (PCB) bagi memastikan semua pegawai dan pemain mempunyai ‘safety net’ yang mencukupi untuk kerjaya berisiko tinggi ini,” katanya.
Sementara itu, satu sumber memberitahu, pengurusan pasukan Penang FC tidak pernah berdepan dengan masalah pembayaran gaji sepanjang dua musim sejak 2021. – UTUSAN ONLINE