PETALING JAYA: Lima hari selepas menamatkan badi lima tahun dengan menjuarai Terbuka Korea dalam beregu campuran, Tan Kian Meng meneruskan rentak cemerlangnya, kali ini dalam beregu lelaki bersama Tan Wee Kiong.
Kian Meng yang berganding dengan Lai Pei Jing ketika menjuarai Terbuka Korea, Ahad lalu melepasi pusingan pertama Korea Masters dengan mengejutkan pilihan ketiga dari Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan 21-11, 16-21, 22-20 semalam.
Pasangan negara itu mengambil masa 48 minit untuk menang di Stadium Gwangju, Yeonju, sekali gus bakal menempah pertemuan dengan beregu tuan rumah, Choi Soi Gyu-Kim Won Ho hari ini.
Turut mara ke pusingan kedua beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang juga pilihan keempat kejohanan selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Wang Chan-Jung Kyung Eun 21-12, 21-12.
Soon Huat-Shevon Lai kini akan berdepan Misha Zilberman-Svetlana Zilberman dari Israel hari ini.
Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Low Juan Shen juga turut mara ke pusingan kedua selepas lawan mereka dari India, Krishna Prasad Garaga-Vishnuvardhan Goud Panjala menarik diri.
Bagaimanapun, tiga lagi wakil negara gagal melangkah jauh. Beregu campuran, Choong Hon Jian-Yap Cheng Wen tewas 16-21, 5-21 kepada pasangan China, Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong dan beregu lelaki, Azriyn Ayub-Lim Khim Wah tewas 19-21, 18-21 di tangan wakil tuan rumah Gwang Min Na-Noh Jin Seong.
Cheam June Wei pula tewas mudah kepada pemain tuan rumah, Jeon Hyeok Jin 11-21, 11-21 dalam perseorangan lelaki. – UTUSAN ONLINE