ISKANDAR PUTERI: Pengendali Kawasaki Frontale, Toru Oniki mengakui, beliau tidak menyangka Malaysia mempunyai sebuah kelab yang kuat selepas pasukannya diikat 0-0 oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam perlawanan ketiga Kumpulan I, Liga Juara-Juara Asia (ACL) kelmarin.
Skuad Harimau Selatan bukan sahaja bermain secara tersusun, malah menyebabkan Frontale, yang turun dengan reputasi selaku kelab ranking No. 1 Asia dan juara liga utama Jepun (J1) musim lalu mencipta rekod tidak melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang lawan.
Menurut penyedia statistik sukan terkenal, OPTA, ini kali pertama Frontale gagal melakukan percubaan tepat ke gawang lawan sama ada dalam saingan ACL mahu pun Liga J1 sejak 2017.
“Saya tidak menyangka bahawa wakil tunggal dari Malaysia mempunyai kualiti dan mampu bersaing dengan pasukan kami, selain bermain dengan cukup teratur walaupun diasak berkali-kali.
“Setiap pemain mereka memberikan aksi terbaik dan kental, memberi kesukaran kepada kami. Untuk itu, kami perlu meningkatkan rentak permainan mengikut acuan taktikal dan cara kami, harapnya ia membantu kami beraksi dengan lebih baik,” katanya.
Sementara itu, pengendali JDT, Benjamin Mora lega berjaya mencuri mata berdepan pasukan kuat Frontale, sekali gus kekal mengungguli Kumpulan I dengan dua kemenangan dan satu seri.
“Ia adalah perlawanan yang sangat sukar, Kawasaki Frontale bermain amat tersusun dan mempamerkan taktikal yang jitu.
“Mereka juga sangat teknikal dan bijak mengatur serangan, ini memaksa JDT mengubah formasi dengan bermain lebih kompak dan bertahan.
“Pujian harus diberikan kepada barisan pertahanan kami yang memberikan persembahan mengagumkan setelah bertahan dengan sangat efisyen, menutup ruang buat pasukan lawan, melakukan asakan serta mengeluarkan bola daripada zon bahaya,” katanya.