PETALING JAYA: Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan pemain perseorangan lelaki, Soong Joo Ven melangkah ke separuh akhir badminton Korea Masters di Gwangju hari ini.
Turun sebagai pilihan keempat, Soon Huat dan Shevon Lai mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Singapura, Hee Yong Kai-Tan Wei Han 21-16, 21-11 dalam masa 33 minit, manakala Joo Ven menewaskan pemain Israel, Misha Zilberman 23-21, 21-18.
Menanti Soon Huat-Shevon Lai pada separuh akhir hari ini adalah Ou Xuan Yi-Huang Ya Qiong dari China yang menewaskan wakil tuan rumah, Kang Min Hyuk-Baek Ha Na 21-15, 21-10.
“Segala perancangan kami di suku akhir berjalan dengan baik dan berjaya menewaskan lawan untuk mara ke separuh akhir. Pastinya cabaran seterusnya tidak mudah kerana pasangan China adalah lawan yang kuat berdasarkan prestasi semasa mereka,” kata Shevon kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Joo Ven yang berkedudukan ke-68 dunia pula menempah pertemuan dengan Kodai Naraoka selepas pemain Jepun itu menewaskan pemain perancis, Lucas Claerbout 21-15 21-17 dalam masa 56 minit di peringkat suku akhir.
Joo Ven berkata, tekanan dalam aksi separuh akhir hari ini akan lebih dirasai oleh Naraoka memandangkan pemain Jepun tersebut berkedudukan lebih baik berbanding dirinya iaitu ke-47 dunia.
“Esok saya akan aturkan strategi dalam permainan dan ‘baca’ gaya permainan dia terlebih dahulu. Bagi saya tiada apa yang rugi dalam pertemuan esok tetapi saya akan buat yang terbaik untuk terus melangkah jauh dalam kejohanan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE