PETALING JAYA: Satu tiket final Kejohanan Badminton Asia (BAC) sudah sah milik Malaysia selepas dua beregu lelaki, Aaron Chiah-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani akan berentap sesama sendiri pada separuh akhir esok.
Turut meneruskan cabaran ke peringkat empat terbaik di Manila adalah jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Aaron-Wooi Yik bangkit daripada ketinggalan di set pembukaan sebelum menyingkirkan pilihan ketiga dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 12-21, 21-14, 21-16.
Dalam aksi terdahulu, Sze Fei-Nur Izzuddin pula mengetepikan pasangan China, Ren Xiang Yu-Tan Qiang dari China 21-19, 21-14.
Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky tidak meletak sebarang sasaran kepada Sze Fei dan Izzuddin, sebaliknya memberi kebebasan kepada mereka untuk menyerlahkan potensi di gelanggang.
“Kami cuba untuk tidak meletakkan sebarang tekanan kepada apatah lagi dengan harapan tinggi tetapi kami memang beri tumpuan kepada setiap langkah mereka dalam kejohanan ini,” katanya.
Sementara itu, Zii Jia meneruskan misi memburu kejuaraan dalam penampilan sulung di BAC apabila mudah menumpaskan kelapan dari Jepun, Kanta Tsuneyama 21-13, 21-11.
Pemain No. 7 dunia itu kini akan berdepan pemain bukan pilihan dari China, Weng Hong Yang dalam pemburuan tiket ke final esok.
Hong Yang terdahulu melakar kejutan terbesar pada kejohanan itu apabila menyingkirkan pilihan kedua, Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia 21-13, 16-21, 21-11.
Cabaran Malaysia bagaimanapun gagal diteruskan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang kah 16-21, 16-21 kepada pilihan keempat dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Turut kandas juara beregu campuran Terbuka Korea, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang tumpas 18-21, 5-21 di tangan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.
Beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah pula memberi tentangan sengit sebelum akur 21-14, 19-21, 16-21 kepada bekas juara dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota dari Jepun. – UTUSAN ONLINE