IPOH: “Bagaimana pemain hendak hadapi bulan Ramadan ini dengan tiada wang”.
Itu keluhan Ketua Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengenangkan nasib dialami anak-anak buahnya serta pasukan kerana tidak menerima gaji antara dua setengah hingga tujuh setengah bulan setakat ini.
“Kita sudah hendak berpuasa, saya bimbang anak-anak buah saya tiada makanan kerana tidak dapat gaji, jadi tolonglah cari jalan penyelesaian segera,” kata Yusri selepas perlawanan Piala FA menentang Kijang Rangers FC di Stadium Perak di sini kelmarin.
Perak menang 1-0 melalui jaringan tunggal Mohd. Hakimi Md Isa pada minit ke-101 untuk mara ke pusingan kedua trofi kalah mati itu.
Menurut jurulatih itu, pemain Perak menunjukkan sikap profesional mereka dengan tetap bermain bermati-matian setakat ini.
“Memang kami menghadapi situasi yang sangat sukar tetapi pemain tetap memberi yang terbaik,” katanya.
Yusri yang menyifatkan hubungan kekeluargaan dalam pasukan itu amat baik sedih kerana anak buahnya terpaksa melalui kesukaran ini.
Justeru beliau mengulangi ikrarnya untuk kekal bersama pasukan hingga ke akhir.
Menurut jurulatih itu, dia ada berhubung dengan Pengerusi Eksekutif Impact Media & Communication (IMC) tetapi tidak mendapat sebarang jaminan penyelesaian.
“Saya dimaklumkan bahawa IMC mahu menjual Perak FC tetapi sehingga kini tidak ada apa-apa yang berlaku . Ini agak merisaukan,” katanya.