PETALING JAYA: Belum pun menandatangani kontrak rasmi pengambilalihan Perak FC, bakal pemilik baharu, XOX Berhad sudah menghadirkan kegembiraan kepada Bos Gaurus apabila memberi sumbangan duit raya RM100,000.
Sedar dengan ‘azab’ yang dihadapi pemain dan pegawai kerana beberapa bulan tidak menerima gaji, syarikat telekomunikasi gergasi itu turut mengumumkan pemberian kuih raya kepada seluruh pasukan bagi membolehkan mereka menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan ceria.
Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Muhammad Yunus Zakariah bagaimanapun enggan menyentuh soal bilakah pembayaran gaji penuh pasukan akan dilangsaikan kerana pengambilalihan itu hanya akan ditandatangani 14 hari dari sekarang.
Semalam, Perak FC menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan XOX dengan disaksikan CEO Liga Bola Sepak Malaysia, Stuart Ramalingam.
“Perak FC sudah ada bakal pemilik. Hari ini kita menandatangani MOU dengan XOX, dan dalam 14 hari akan datang kita menandatangani sale and purchase agreement (perjanjian jual beli).
“Hari ini kira macam majlis bertunang, akad nikah dalam 14 hari lagi. Tapi ini langkah terakhir menandakan Perak FC sudah ada pemilik baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
RM100,000 DUIT RAYA, XOX AKAN LANGSAI SEMUA TUNGGAKAN?
Sementara itu, TKKR Racing Team, pasukan yang ditaja oleh XOX dan berlumba dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia dalam kenyataan di Facebook berkata, RM100,000 yang disumbangkan kepada pasukan Bos Gaurus adalah untuk membolehkan pemain dan pegawai menyambut Hari Raya.
“Adakah gaji pemain akan di lunaskan sepenuhnya ? Ya.
“Bagaimanapun sebagai syarikat berhad ia perlu melalui proses due dilligence dan akan dilakukan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
XOX syarikat telekomunikasi yang tersenarai dalam bursa saham Malaysia dan antara korporat cukup berjaya serta menjadi penaja beberapa acara, terutama permotoran.
Perak FC muncul pasukan kelima dalam Liga Malaysia (Liga M) dimiliki sepenuhnya organisasi swasta tanpa ada penglibatan atau perkongsian saham Kerajaan Negeri atau Persatuan Bola Sepak Negeri (FA).
Kelab lain adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Petaling Jaya City (PJ City), Kelantan FC dan Sri Pahang FC.
Sebelum ini, First Instance Body (FIB) memberi talian hayat kepada Perak sehingga semalam selepas mereka gagal melunaskan tunggakan gaji pasukan sehingga menyebabkan kelab dipotong sembilan mata.
Menurut Pengerusi FIB, Sheikh Mohd. Nasir, selepas meneliti dan menperhalusi permohonan Perak pada 18 April 2022, pihak Jawatankuasa FIB memberikan ruang untuk pihak pengurusan kelab menyelesaikan segala proses rundingan, di mana tempoh itu berakhir semalam. – UTUSAN