Nauraj mahu kekalkan penguasaan Malaysia dalam lompat tinggi

Nauraj mahu kekalkan penguasaan Malaysia dalam lompat tinggi

NAURAJ Singh (kiri) bersama atlet heptatlon, Norliyana Kamaruddin (tengah) dan Queenie Ting Kung Ni (lempar cakera) pada majlis penajaan Ajinomoto di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak pasti apakah dia boleh beraksi dalam Sukan Asia atau Sukan Komanwel tahun ini, Nauraj Singh akan memberikan ‘segala-galanya’ pada Sukan SEA ­Vietnam bulan depan dan nekad mengekalkan penguasaan Malaysia dalam acara lompat tinggi.

Malaysia meraih pingat emas acara lompat tinggi lelaki sejak edisi 1977 temasya dwitahunan itu, kecuali pada 2005 di Manila, menyaksikan atlet dari Vietnam Nguyen Duy Bang memenangi emas.

Nauraj, 30, yang menjalani latihan bersama jurulatihnya dari Jerman di ibu negara adalah pemegang rekod kebangsaan 2.30 meter (m) dan pemenang pingat emas tiga kali berturut-turut pada edisi 2013 (Naypyidaw), 2015 (Singapura) dan 2017 di Kuala Lumpur.

Dia terlepas gelaran juara pada temasya terakhir di Filipina 2019 kepada rakan senegara, Lee Hup Wei yang bagaimanapun mengumumkan persaraan tahun ini.

“Saya mahu menang pingat emas buat Malaysia, saya tidak begitu berminat dengan ke­tinggian (untuk melakukan catatan terbaik musim), jadi tidak mengapa. Saya cuba berada dalam keadaan terbaik untuk Sukan SEA

“Saya akan tampil di sana dengan memberikan sepenuh keupayaan saya, 110 peratus, apa saja datang dengan itu, saya akan sangat gembira.

“Saya pun tak tahu lagi, mungkin di masa hadapan saya akan mengalami kecederaan menyebabkan saya tidak dapat menyertai pertandingan lain malah saya pun belum tahu akan terpilih atau tidak (dalam Sukan Komanwel dan Sukan Asia),” dalam majlis penajaan bersama Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil kelmarin.

Dalam perkembangan sama, Nauraj mengakui latihan dijalaninya kini sukar meskipun tidak banyak perbezaan dengan latihan sebelum ini kerana sepanjang musim digunakan untuk persiapan menghadapi tiga kejohanan sukan terbesar tahun ini iaitu Sukan SEA, Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

“Sesi latihan memang sangat sukar, walaupun tak banyak beza, tetapi dari segi tahap kesungguhan memang perlu diperkuatkan lagi sebab ada banyak kejohanan utama.

“Sebagai persiapan, pastinya ada latihan istimewa ke arah itu tetapi saya dan jurulatih tidak mahu mengubah banyak perkara. Yang pasti, saya letakkan sepenuh kepercayaan kepadanya untuk melatih saya,” katanya.

Sebagai rekod, Nauraj meraih pingat emas dalam Kejohanan BKK Freudenberg Hochsprung Gala 2022 di Jerman pada Februari lalu dengan catatan ketinggian 2.22m, malah mencipta rekod baharu kebangsaan dengan lompatan 2.27m sebelum ini dalam kejohanan di Republik Czech.  

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya