PETALING JAYA: Melihat kepada kekuatan yang dimiliki skuad badminton Malaysia menjelang Piala Thomas di Bangkok bulan depan, meletakkan kejuaraan sebagai sasaran di Bangkok bulan depan adalah tidak realistik.
Biarpun Malaysia memahat sejarah muncul juara berpasukan Asia buat kali pertama di Shah Alam, Februari lalu, namun dua kejohanan tersebut adalah pentas yang amat berbeza kerana China tidak menghantar pasukan, manakala gergasi Asia seperti Indonesia (juara bertahan Piala Thomas), Jepun dan Korea Selatan pula tidak membariskan pemain terbaik mereka.
Piala Thomas juga bakal menyaksikan kehadiran gergasi Eropah, Denmark yang akan diketuai pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen.
Tumpuan utama Malaysia, yang bakal diketuai pemain No. 7 dunia, Lee Zii Jia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo, Aaron Chia-Soh Wooi Yik adalah melepasi undian awal Kumpulan D, yang dibarisi juara 2014, Jepun dan England dan New Zealand.
“Bagi saya, suku akhir (melepasi peringkat kumpulan) sasaran paling realistik sebab Malaysia memang sudah beberapa kali layak ke peringkat ini, namun kita selalu terkandas untuk ke separuh akhir.
“Kita kena lakukan satu per satu, selepas layak ke suku akhir kemudian separuh akhir, selepas itu barulah kita tumpu ke final,” kata legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek kepada Mingguan Malaysia.
Rashid, yang menjadi orang terakhir mendakap Piala Thomas di Kuala Lumpur pada 1992 mengakui, harapan untuk Malaysia menamatkan kemarau 30 tahun dalam kejuaraan badminton berpasukan dunia itu amat sukar, namun bukan mustahil.
Bekas jurulatih kebangsaan itu percaya, barisan beregu lelaki lebih mudah dibaca dengan Aaron-Wooi Yik, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang baru menjuarai Terbuka Jerman bulan lalu dijangka mengetuai cabaran negara.
Zii Jia dan Ng Tze Yong hampir pasti menggalas tugas perseorangan, namun siapa yang bakal mengisi dua lagi slot ke Bangkok dari 8-15 Mei ini masih terbuka.
“Tidak kira siapa pun lawan kita, pemain yang layak ke suku akhir nanti mesti berani ambil risiko untuk mencari kemenangan dan membawa pasukanke separuh akhir.
“Memang betul, apabila terlalu banyak tekanan diberikan kepada pemain untuk mencapai sasaran, mereka akan hilang fokus tetapi di sinilah setiap ahli pasukan perlu sentiasa tingkatkan semangat supaya rakan sepasukan mereka tidak gentar dan kental,” katanya. – UTUSAN