PETALING JAYA: ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.’
Mungkin itu peribahasa paling sesuai ditujukan buat pengendali Melaka United FC (MUFC), Risto Vidakovic yang ditamatkan kontraknya kelmarin, hanya selepas empat perlawanan membimbing skuad Sang Kancil.
Biarpun Melaka mengesahkan pemecatan Vidakovic disebabkan prestasi hambar pasukan yang sehingga kini masih gagal mencatat sebarang kemenangan, namun ramai melihat keputusan itu berkait dengan tindakan jurulatih tersebut mendedahkan mengenai isu gaji pemain.
Pemilik MUFC, Datuk Seri Justin Lim berkata, surat makluman penamatan kontrak selaku jurulatih telah ditandatanganinya dan diserahkan Vidakovic kelmarin.
“Khidmat dia (Vidakovic) bersama MUFC ditamatkan bermula kelmarin susulan prestasi pasukan yang hanya mengutip satu mata selepas empat perlawanan dalam Liga Malaysia musim ini.
“Penamatan kontrak ini adalah hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kata Justin, penolong ketua jurulatih, Mohd. Asri Ninggal diberi tugas bagi melatih pasukan sebelum pelantikan baharu ketua jurulatih diumumkan dalam masa terdekat.
“Pasukan akan dibimbing Mohd. Asri buat sementara waktu sehinggalah pengganti Vidakovic kita umumkan dalam masa terdekat,” jelasnya.
Vidakovic, 53, adalah jurulatih pertama yang ditamatkan kontrak musim ini walaupun Liga Malaysia (Liga M), baru memasuki perlawanan keempat dan Melaka menghuni tangga ke-10.
Difahamkan tindakan jurulatih kelahiran Bosnia & Herzegovina itu yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat kepada media berhubung tunggakan gaji barisan pemain dan pengurusan mendorong kepada pemecatannya.
Pada 5 April lalu, Vidakovic mendedahkan, kekalahan 0-1 pasukannya kepada Sabah di laman sendiri berpunca kerana pemain tiada semangat untuk beraksi.
Katanya, sudah hampir tiga bulan pemain dan pengurusan pasukan itu tidak menerima gaji, membuatkan mereka sukar memberi tumpuan di atas padang.
Vidakovic yang datang dari kelab Liga 1 Indonesia, Borneo FC dilantik awal tahun ini bagi menggantikan Zainal Abidin Hassan.
Dia pernah membimbing beberapa kelab Eropah dan Asia selain pernah bersama skuad kebangsaan Serbia selaku Penolong Jurulatih pada 2006 hingga 2007.
Antara kelab yang pernah mendapatkan khidmat Vidakovic termasuk kelab-kelab Sepanyol seperti Murcia, Ecija Cadiz dan Betis B selain pernah membimbing kelab Honduras, Motagua, kelab Filipina, Ceres-Negros, kelab Maldives, Maziya sebelum menyertai Borneo FC.
Sepanjang bergelar jurulatih, dia telah membantu kejuaraan hatrik Ceres-Negros dalam Liga Filipina (2017-2019), selain membawa Maziya menjuarai Liga Premier Dhivehi 2020-2021. – UTUSAN