PETALING JAYA: Malaysia dipaksa bermandi peluh sebelum mengatasi Kemboja 7-6 pada aksi pertama Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berlangsung di Stadium Tertutup Huamark, Bangkok, Thailand, sebentar tadi.
Skuad bimbingan Chiew Chun Yong yang turun dengan reputasi lima kali Naib juara (2003, 2005, 2010, 2017, 2018) bagaimanapun berdepan tentangan sengit dari lawan yang dibimbing Cheth Chanrachana.
Turun dengan sasaran memburu kemenangan, Malaysia mendahui Kemboja seawal minit pertama hasil jaringan sendiri pemain lawan, Ros Sichamroeun namun Orkchan Sereyvong berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-6.
Corak permainan pantas dipamerkan barisan pemain Malaysia berjaya menghukum lawan dengan aksi menarik dipamerkan Ketua pasukan, Khairul Effendy Bahrin meletakkan pasukan didepan selang tiga minit kemudian untuk mendahului lawan 2-1.
Kemboja yang merekodkan pencapaian terbaik dikedudukan keempat pada 2003 dan 2006 bagaimanapun berjaya mendahului Malaysia buat kali pertama menerusi gol yang dijaringkan Ros Sichamroeun minit ke-17 dan Diamant Prum selang seminit kemudian.
Ketinggalan 2-3 tidak mematahkan semangat skuad kebangsaan yang akhirnya memperolehi gol penyamaan menerusi
Saiful Nizam Mohd Ali pada minit ke-20 dan sebelum Abu Haniffa Hasan menjaringkan gol keempat selang tiga minit kemudian.
Penjaring gol pertama Kemboja, Sereyvong memastikan perlawanan semakin sengit apabila berjaya meledak gol keempat buat pasukan pada minit ke-25 namun Malaysia sekali lagi memperolehi gol saguhati hasil jaringan sendiri Sichamroeun selang empat minit kemudian.
Malaysia terus melebarkan jurang gol menerusi Abu Haniffa yang meledak gol kedua peribadi dan kelima pasukan pada minit ke-32 namun Kemboja berjaya merapatkan jurang menerusi Chanmony Tong untuk kedudukan 4-5 selang seminit kemudian.
Ketika lawan ghairah memburu gol penyamaan, Khairul Effendy memastikan gol ketujuh buat Malaysia pada minit ke-39 untuk kedudukan 7-5.
Walaupun Sothydaroth Lun berjaya merapatkan kedudukan 6-7 pada minit ke-40 namun gagal menghalang Malaysia meriah kemenangan pertama.
Tiga mata yang diraih Malaysia pastinya memberikan suntikan menjelang aksi getir menentang Indonesia yang juga merupakan juara 2010 dan Naib juara 2019, Isnin ini.
Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama tuan rumah yang juga juara bertahan, Thailand, Indonesia, Kemboja dan Brunei manakala Kumpulan B menampilkan empat pasukan – Vietnam, Myanmar, Timor-Leste dan Australia.
Tiga pasukan terbaik akan layak ke Piala Asia Futsal 2022 di Kuwait, September depan. – UTUSAN ONLINE