Liverpool malukan United sekali lagi, rampas takhta pendahulu

Liverpool malukan United sekali lagi, rampas takhta pendahulu

PEMAIN Liverpool meraikan gol Mohamed Salah ketika menentang Manchester United di Anfield.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIVERPOOL: Liverpool memalukan Manchester United buat kali kedua musim ini untuk merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas dua jaringan Mohamed Salah membantu mereka menang 4-0 di Anfield, hari ini.

Anak-anak buah Jurgen Klopp menang 5-0 dalam pertemuan pertama di Old Trafford, Oktober lalu dan United sekali lagi tenggelam di tempat lawan, di mana Luis Diaz serta Sadio Mane turut mencetak nama sebagai penjaring.

Reds berada pada prestasi yang sukar dibendung untuk mengatasi Manchester City dengan kelebihan dua mata, sekali gus meningkatkan tekanan dalam perebutan kejuaraan liga.

City bagaimanapun akan merampas kembali takhta jika mengalahkan Brighton di Etihad esok.

MOHAMED Salah kembali menemui sentuhan jaringan dengan meledak dua gol.

Pengendali United, Ralf Rangnick meletakkan lima pertahanan dalam usaha mengekang asakan Reds yang bersemangat membawa misi memburu empat kejuaraan, ketika Red Devils pula berusaha mengejar kelompok empat terbaik.

Bagaimanapun perancangan mereka menjadi huru-hara hanya dalam masa lima minit apabila Diaz menyudahkan hantaran lintang rendah Salah untuk meledak gol pembukaan, iaitu jaringan keempatnya bersama kelab.

LUIS Diaz meledak gol pembukaan Liverpool ketika menumpaskan Manchester United di Anfield.

Pada minit ketujuh, penyokong kedua-dua pasukan memberi penghormatan kepada Cristiano Ronaldo yang tidak beraksi kerana kematian bayi lelakinya, dengan memberi tepukan hormat.

Liverpool kemudian terus mendominasi dan memaksa United mengejar bayang-bayang apabila menggandakan kedudukan di minit ke-22.

Mane melakukan hantaran hebat buat kali pertama untuk disempurnakan oleh Salah, yang akhirnya menjaringkan gol (bukan menerusi penalti) sejak 19 Februari.

United bernasib baik kerana hanya ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama, namun meningkatkan permainan seketika di babak kedua.

Kecekapan penjaga gol, Alisson menyelamatkan percubaan Marcus Rashford dan Anthony Elanga.

SADIO Mane turut mencetak nama sebagai penjaring.

Liverpool akhirnya menemui rentak sekali lagi dan meledak gol ketiga pada minit ke-66 apabila Mane dengan tenang melepaskan rembatan rendah hasil gerakan cantik Diaz-Andrew Robertson.

Salah kemudian ‘menabur garam di luka’  Red Devils apabila menjaringkan gol ke-30nya musim ini, lima minit sebelum tamat.

Misi United untuk memburu kedudukan empat teratas kini semakin sukar ketika saingan berbaki enam perlawanan dengan jatuh ke tangga keenam, tiga mata di belakang Tottenham.

Liverpool akan kembali dalam aksi Liga Perdana pada Ahad apabila menerima kunjungan pasukan jiran, Everton ke Anfield, manakala United bertandang ke Arsenal pada Sabtu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya