LONDON: Jaringan Naby Keita pada minit ke-19 memadai untuk membawa Liverpool merampas kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris selepas menumpaskan Newcastle United 1-0, sebentar tadi.
Manchester City bagaimanapun mampu kembali memintas Reds jika menewaskan Leeds United di Elland Road pada saingan yang berlangsung pukul 12.30 pagi nanti (waktu Malaysia).
Jurgen Klopp yang merehatkan Trent Alexander-Arnold, Ibrahima Konate, Fabinho, Thiago Alcantara dan Mohamed Salah memulakan aksi dengan sedikit goyah.
Begitupun, jaringan Keita yang menyempurnakan hantaran Diogo Jota menaikkan semangat Reds untuk mencari lagi banyak gol.
Newcastle yang dibimbing Eddie Howe bertahan dengan baik, namun trio Allan Saint-Maximin, Bruno Guimaraes dan Joe Willock gagal melancarkan serangan bahaya ke gawang lawan.
Tidak banyak percubaan dilakukan The Magpies, namun jaringan yang disudahkan Miguel Almiron dibatalkan kerana ofsaid.
Kemenangan itu membolehkan Liverpool mengatasi City dengan kelebihan dua mata ketika liga berbaki empat perlawanan. – AGENSI