PETALING JAYA: Hasrat peminat badminton negara untuk menyaksikan pertembungan antara Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying bersama pasangan baharu masing-masing di Korea Masters 2022 tidak menjadi kenyataan.
Liu Ying mengesahkan dia terpaksa menarik diri pada kejohanan yang bermula di Gwangju hari ini bagi memberi rehat secukupnya kepada Ong Yew Sin yang turut beraksi dalam beregu lelaki.
Yew Sin dan pasangannya, Teo Ee Yi diletak sebagai pilihan utama pada kejohanan itu.
Sekiranya Liu Ying tidak menarik diri, peminat badminton negara dapat menyaksikan pertembungan buat kali pertama antara Peng Soon-Toh Ee Wei dan Liu Ying-Yew Sin selepas mereka diundi bertembung pada pusingan pertama Korea Masters.
“Saya tarik diri bagi memberikan rehat kepada Yew Sin. Masa terlalu singkat untuk dia dan Ee Yi.
“Selepas ini, saya dan Yew Sin akan memberi fokus kepada Terbuka Thailand (17-22 Mei),” kata Liu Ying ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Selepas 13 tahun bersama (2008-2021), Peng Soon-Liu Ying mengumumkan untuk berpisah pada Disember tahun lalu bagi membawa haluan masing-masing.
Liu Ying bergerak sebagai pemain profesional dan Peng Soon kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Pencapaian terbaik Peng Soon-Liu Ying adalah meraih pingat perak beregu campuran Sukan Olimpik Rio 2016, selain memenangi emas Sukan Komanwel 2010 di New Delhi serta pelbagai kejuaraan antarabangsa.
Cabaran Malaysia di Korea Masters akan digalas Liew Darren, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei bagi perseorangan lelaki, Yew Sin-Ee Yi, Goh V Shem-Low Juan Shen, Mohd. Azryn Ayub-Lim Khim Wah, dan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong dalam beregu lelaki serta Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien dalam beregu wanita.
Sementara itu dalam beregu campuran, cabaran Malaysia diketuai Kian Meng-Lai Pei Jing yang baru memenangi Terbuka Korea kelmarin, selain Peng Soon-Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Choong Hon Jian-Yap Cheng Wen. – UTUSAN