PETALING JAYA: Apakah persiapan skuad Piala Thomas Malaysia berjalan baik?
Perkara itu mencetuskan tanda tanya selepas jaguh badminton No. 1 negara , Lee Zii Jia ‘hilang’ dari radar kem latihan sejak Selasa lalu.
Ketidakhadiran Zii Jia selama beberapa hari lalu menimbulkan keresahan bahawa terdapat masalah dalam persiapan skuad negara untuk menghadapi Piala Thomas yang dijadualkan di Bangkok, 8-15 Mei.
Zii Jia, 24, yang sepatutnya menyertai kem latihan pusat di Akademi Badminton Malaysia (ABM) sejak Jumaat lalu dilihat berlatih di Gelanggang Olahraga Sentosa di Taman Sri Sentosa.
Pemain No. 7 dunia itu dikatakan menjalani latihan dengan dua lagi pemain profesional, Soong Joo Ven dan Cheam June Wei.
Begitupun belum ada pengesahan apa yang berlaku di ABM, Selasa lalu apabila Zii Jia dilihat meninggalkan tempat latihan lebih awal.
Dia juga tidak hadir ketika Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengadakan pertandingan simulasi, Rabu lalu, namun rakan sparring (sepelatih) Zii Hia, Liew Daren mengambil bahagian.
Zii Jia diundang BAM untuk menghadiri pelatihan berpusat bersama pasukannya yang turut dianggotai jurulatih pribadinya, Indra Wijaya, fisioterapis Sandra Fiedler, pelatih fizikal Lim Joe Heang serta Daren.