PETALING JAYA: Goh Jin Wei mempamer langkah cemerlang sejak membuat penampilan semula dalam tempoh 10 bulan apabila mengejutkan pemain ke-21 dunia dari Thailand, Phittayaporn Chaiwan untuk melepasi pusingan pembukaan badminton Korea Masters di Gwangju, sebentar tadi.
Juara remaja dunia dua kali itu yang menghuni ranking ke-88 dunia menang 21-12, 19-21, 21-11 dalam perlawanan yang berlangsung hampir satu jam, sekali gus bakal berdepan pemain No. 17 dunia dari China, Wang Zhiyi pada pusingan kedua.
Zhiyi sebelum itu mara selepas mengetepikan pemain tuan rumah, Sim Yu-jin 21-18, 21-16.
Minggu lalu, Jin Wei, 22, yang menyertai kejohanan antarabangsa pertamanya sejak Jun tahun lalu melayakkan diri ke suku akhir Terbuka Korea sebelum langkahnya disekat oleh Kim Gae-un 15-21, 18-21.
Kejayaan melangkah ke peringkat lapan terbaik itu membolehkan pemain profesional negara itu mendaki 40 anak tangga dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikeluarkan hari ini.
Sementara itu, cabaran Malaysia turut diteruskan beregu campuran, Chan Peng Soon-Toh Ee Wei yang menewaskan gandingan Jin Wei bersama Soong Joo Ven-Goh Jin Wei 21-11, 21-20.
Joo Ven bagaimanapun menembus kekalahan itu dengan melepasi pusingan pertama perseorangan lelaki selepas menumpaskan pencabar dari Singapura, Jason Teh 21-8, 21-18 bagi menempah pertemuan dengan pilihan kelima dari Korea, Heo Kwanghee.
Peng Soon-Ee Wei yang turun sebagai pilihan kelapan pula akan menentang pasangan China, Zheng Si Wei-Zhang Shu Xian dalam perebutan tiket suku akhir.
Esok lima lagi wakil Malaysia – satu dalam perseorangan, dua beregu lelaki dan dua lagi beregu campuran akan memulakan kempen masing-masing. – UTUSAN ONLINE