PETALING JAYA: Pelumba empat roda negara, Jazeman Jaafar yang kini sedang beraksi dalam lima pusingan perlumbaan Siri Le Mans Eropah mencatat keputusan memberangsangkan pada sesi ujian terbaik yang berlangsung di La Castellet, Perancis semalam.
Anak kelahiran Kuala Lumpur itu mencatat kedudukan ketiga keseluruhan dan menghuni tempat pertama bagi kategori LMP2 Pro Am menerusi catatan masa 1 minit 45.840 saat sepusingan yang diciptanya pada pusingan ke-15.
Jazeman yang merupakan wakil tunggal Malaysia terbabit dalam sesi ujian yang dilaksanakan selama dua hari menjelang perlumbaan sebenar pada hujung minggu ini.
Selepas sesi ujian, pelumba berusia 30 tahun itu melahirkan rasa gembiranya dengan keputusan yang dicatatnya.
“Sesi ujian hari ini (semalam) berjalan dengan baik. Kami mengharungi program ujian yang sangat komprehensif dan berjaya menyempurnakan hasil kerja simulasi yang berbeza.
“Pada sesi ujian masa itu kami juga menerapkan simulasi perlumbaan sebenar dengan menggunakan bahan api sepenuhnya.
“Saya juga cuba untuk menyesuaikan gaya pemanduan dengan pelarasan yang berbeza. Saya gembira dengan apa yang telah kami harungi sejak dua hari lalu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.
Mengulas pula mengenai perlumbaan hujung minggu ini, Jazeman yang bernaung di bawah pasukan, Team Virage dari Poland memberitahu, dia masih lagi dalam proses pembelajaran dan walaupun beraksi dalam kategori LMP2 Pro Am, persaingan yang diberikan sangat kompetitif.
Jelasnya, terdapat tujuh jentera yang cukup mantap dan dia berjanji untuk terus berjuang bagi mendapatkan keputusan yang baik.
“Saya tidak sabar untuk beraksi pada hujung minggu ini dan amat berharap keputusan yang baik dapat dihasilkan sebagai permulaan untuk perlumbaan, musim ini,” ujarnya yang berpangkalan di Valencia, Sepanyol.
Selain Jazeman, Team Virage turut diwakili dua pelumba iaitu Gabriel Aubry dari Perancis dan pelumba Amerika Syarikat, Rod Hodes yang merupakan rakan sepasukannya dalam perlumbaan berintensiti tinggi itu. – UTUSAN ONLINE