PETALING JAYA: Episod malang yang menghantui Sri Pahang hingga keciciran mata dalam dua perlawanan sebelum ini tidak akan berlaku lagi menjelang kunjungan Melaka United, di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Pemain import Tok Gajah, Manuel Hidalgo percaya, segala apa yang berlaku dan pengalaman dilalui akan mematangkan dirinya dan juga rakan sepasukan yang lain dalam memburu kemenangan sulung.
“Usaha yang hebat daripada pasukan walaupun dihimpit dengan keputusan buruk. Semua ini akan membuatkan kami bertambah kuat lagi,” ujarnya.
Terdahulu dalam dua perlawanan sebelum ini, skuad bimbingan Christophe Gamel kehilangan empat mata disebabkan kesilapan yang dibuat pihak ketiga, iaitu pengadil bertugas yang diakui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Detik malang Sri Pahang bermula ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) apabila pengadil bertugas membenarkan jaringan tunggal, Rodney Celvin diikuti keputusan seri 1-1 dengan Petaling Jaya City juga dipalit dengan kontroversi ofsaid selepas jaringan penyamaan R. Barathkumar disahkan.
Selepas berakhirnya dua perlawanan, Sri Pahang kini berada di tangga kesembilan dengan mengutip hanya satu mata hasil satu seri dan satu kekalahan. – UTUSAN