MELBOURNE: Juara Formula Satu (F1) dunia tujuh kali, Lewis Hamilton membuat pengakuan bahawa dia ketika ini berdepan ‘masalah mental dan emosi’.
Dalam masa sama, prestasi jentera Mercedes yang kurang menyerlah musim ini meletakkan rekod hebat Hamilton pada Grand Prix (GP) Australia, hujung minggu ini, mungkin tidak memihak kepadanya.
Turun sebagai juara bertahan di Litar Albert Park, pelumba Britain itu berhasrat berada di posisi petak depan buat kali ketujuh berturut-turut di Melbourne.
Begitupun, hasrat itu mungkin tidak mampu dicapai susulan prestasi suram Hamilton dan Mercedes yang ketinggalan di belakang Red Bull dan Ferrari, sehingga tidak mampu mencabar petak utama atau kejuaraan di Bahrain dan Arab Saudi.
Masalah utama yang dihadapi jentera Mercedes adalah mudah melompat pada kelajuan tinggi selepas mereka melakukan rombakan reka bentuk bagi memenuhi peraturan teknikal ditetapkan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
“Sukar untuk kekal positif dalam beberapa hari. Saya berdepan masalah mental dan emosi sejak sekian lama untuk terus berusaha dan berjuang, banyak yang perlu kami lakukan,” kata Hamilton.
Hamilton, 37, yang masih kecewa apabila gelaran juara dunia terlepas daripada genggaman pada perlumbaan terakhir di Abu Dhabi tahun lalu, menyifatkan keretanya sebagai ‘tidak boleh dipandu’ selepas hanya menduduki tempat ke-16 peringkat kelayakan di Arab Saudi, minggu lalu.
Kejayaan Hamilton menduduki tempat ketiga di Bahrain berlaku ekoran penarikan diri dua perlumba Red Bull iaitu Verstappen dan Sergio Perez di akhir perlumbaan. – AGENSI