PETALING JAYA: Pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah mengimpikan keputusan terbaik dalam penampilan pertama pada Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) di Litar Aragon, Sepanyol hari ini dan esok.
Hafizh yang sebelum ini beraksi pada saingan MotoGP sebelum beralih ke WSBK akan mengharungi dua perlumbaan yang melibatkan 12 pusingan dalam setiap perlumbaan.
Selepas menjalani dua hari sesi ujian pramusim di litar sama, Hafizh menunjukkan peningkatan dan ia memberi keyakinan buat pelumba berusia 27 tahun itu.
“Untuk sesi ini kami masih menguji beberapa barangan tambahan dan teruskan penyesuaian dengan motosikal, pasukan dan kategori baharu ini.
“Saya gembira berkerja dengan pasukan dan bagaimana kami saling berkerjasama untuk meningkat prestasi di setiap sesi.
“Sudah pasti, kami memerlukan lebih banyak kilometer sebelum kami benar-benar faham elektronik dan tayar kerana pada masa ini, kami tidak mempunyai banyak data untuk dijadikan perbandingan.
“Perlumbaan esok (hari ini) saya akan beri yang terbaik dan cuba meraih keputusan positif dalam perlumbaan pertama saya di kategori ini,” kata Pelumba Mie Racing Honda itu.
Hafizh menamatkan sesi ujian dua hari itu dengan mencatat masa sepusingan terbaiknya 1 minit 52.312 saat (s) untuk berada di tangga ke-22 keseluruhan daripada 25 pelumba kelas WorldSBK. – UTUSAN ONLINE