PETALING JAYA: Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei yang membuat kemunculan semula dengan mencipta sensasi mara ke suku akhir Terbuka Korea hari ini.
Dalam saingan pusingan kedua, Jin Wei yang menghuni ranking ke-128 dunia menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Se Yeon 21-17, 17-21, 21-12.
Kelmarin, pemain berusia 22 tahun itu yang tidak beraksi di pentas antarabangsa sejak Jun tahun lalu menang 21-19, 16-21, 21-17 ke atas pemain No. 52 dunia, Asuka Takahashi dari Jepun.
Dalam perlawanan suku akhir hari ini, Jin Wei dijadualkan bertemu pemain ke-20 dunia iaitu Kim Gaeun dari Korea Selatan, sekiranya berjaya mengekalkan prestasi pemain itu dilihat mampu melakarkan satu lagi kejutan di Terbuka Korea.
Pada September tahun lalu, Jin Wei mengejutkan dunia badminton, apabila mengumumkan persaraannya daripada sukan badminton pada umur 21 tahun atas faktor kecederaan.
Pemain berasal dari Pulau Pinang mengumumkan persaraan pada usia muda itu menerusi satu video yang dimuat naik di YouTubenya, hanya dua hari selepas tidak tersenarai dalam skuad Piala Sudirman.
Tidak lama selepas itu, Jin Wei memutuskan untuk meneruskan karier badmintonnya sebagai pemain bebas sekali gus menamatkan desas-desus dia akan kembali ke pangkuan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Sementara itu, empat lagi wakil negara turut mara ke peringkat suku akhir Terbuka Korean iaitu pasangan beregu campuran Ong Yew Sin-Goh Liu Ying yang mendapat kemenangan percuma ke atas pilihan utama kejohanan Seo Seung Jae-Chae Yu Jung dari Korea Selatan.
Turut mara ialah pilihan kedua kejohanan, iaitu Tan Kian Meng-Lai Pei Jing selepas menang 21-11 21-9 ke atas Na Sung Seung-Kim Min Ji juga dari Korea Selatan.
Selain itu, pasangan beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi yang juga pilihan keenam kejohanan mempamerkan aksi terbaik mereka untuk mara ke suku akhir selepas menang 22-20 21-11 ke atas Leo Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia.
Seterusnya, pemain perseorangan negara, Ng Tze Yong turut mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain tuan rumah, Kim Donghun dengan 21-14 21-19 dan dijadualkan bertemu Weng Hong Yang dari China. – UTUSAN ONLINE