PETALING JAYA: Selepas hampir tiga bulan berehat daripada kancah bola sepak tempatan, bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe bersedia membuat kemunculan semula.
Dikaitkan bakal membimbing Melaka United FC bagi menggantikan Risto Vidakovic yang ditamatkan kontrak, pengendali kelahiran Kedah ini dilihat antara calon utama yang menepati kriteria diperlukan pemilik MUFC, Datuk Seri Justin Lim.
Cheng Hoe yang pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2016 kini sedia membuka ‘pintu’ buat mana-mana pasukan untuk mendapatkan khidmatnya.
“Saya sedia untuk kembali kerana memang kerjaya saya sebagai jurulatih. Saya bersedia untuk membimbing mana-mana pasukan namun setakat ini belum ada sebarang perbincangan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sejak melepaskan jawatannya bersama skuad kebangsaan , ini adalah kali kedua Cheng Hoe dikaitkan dengan Melaka United.
Cheng Hoe sebelum ini pernah membimbing Kedah pada 2014 hingga 2017 dan membantu pasukan itu menjuarai trofi Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.
Pengendali berusia 54 tahun itu dianggap sebagai salah seorang jurulatih berpengaruh di Malaysia selepas menjadi pengendali Harimau Malaya sejak 2018 sebelum meletakkan jawatan bulan ini selepas prestasi hambar pasukan pada kempen Piala AFF 2020 yang lepas.
Menguatkan kemungkinan Cheng Hoe menabur khidmat bersama Melaka, pasukan yang mara ke separuh akhir Piala Malaysia 2021 ialah kenyataan Justin Lim dengan pihaknya kini sedang mengintai beberapa calon terbaik dan dijangka akan diumumkan minggu depan.
“Jurulatih itu miliki pengalaman dan faham tentang saingan Liga Malaysia (Liga M). Mungkin jurulatih tempatan, mungkin jurulatih asing, jadi tunggulah kita akan umumkan awal minggu depan,” ujar Justin. – UTUSAN