KUANTAN: Hajat Sri Pahang untuk meraih tiga mata pertama belum kesampaian apabila sekadar seri 1-1 dalam aksi Liga Super bertemu Petaling Jaya City (PJ City) di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.
R. Barathkumar menjadi pemusnah apabila rembatan kencangnya dari luar kotak penalti pada minit ke-86 perlawanan menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa untuk gol penyamaan yang cukup berharga buat PJ City.
Anak buah Christophe Gamel terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-38 menerusi pemain import lincah dari Argentina, Manuel Hidalgo.
Sebelum itu, Sri Pahang memperoleh peluang terbaik membuka jaringan menerusi percubaan pemain kacukan Laos, Billy Ketkeophomphone pada minit ke-14, namun bola rembatannya sedikit tersasar ke kanan gawang PJ City.
Pada minit ke-22, Hidalgo memperoleh peluang terbaik menghasilkan jaringan, namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sekadar menggegarkan tiang gol kanan lawan.
Bagi PJ City pula, peluang terbaik skuad itu hadir pada minit ke-32 perlawanan, namun bola rembatan Kumaran selepas dia berjaya melepasi pertahanan Muslim Ahmad berjaya ditepis penjaga gol Sri Pahang, Mamadou Samassa.
Pada separuh masa kedua, aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan dengan masing-masing mempunyai beberapa peluang bagi menjaringkan gol.
Jaringan penyamaan Barathkumar, empat minit sebelum 90 minit masa perlawanan berakhir menjadi pemusnah buat Sri Pahang sekali gus kedua-dua pasukan sekadar berkongsi satu mata. – UTUSAN ONLINE