PETALING JAYA: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membuat kejutan apabila menyenaraikan beregu muda, Chia Weijie dalam senarai 12 pemain ke Piala Thomas 2022 di Bangkok bulan depan.
Penyenaraian pemain berusia 22 tahun itu sesuatu yang mengejutkan selepas namanya tidak berada dalam senarai 13 pemain yang dipanggil untuk kem latihan pusat yang bermula sejak Jumaat lalu.
Itu bermakna, tujuh pemain beregu akan menggalas cabaran negara pada kejohanan 8 hingga 15 Mei ini, termasuk tiga pasangan utama iaitu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani.
Dalam acara perseorangan lelaki, Lee Zii Jia mengetuai cabaran bersama pemain senior, Liew Daren, Ng Tze Yong, Aidil Sholeh Ali Sadikin dan Leong Jun Hao.
Dua pemain iaitu Ong Ken Yon dan Shaqeem Eiman Shahyar yang disenaraikan bagi menjalani latihan pusat sebelum ini digugurkan daripada skuad.
Sementara itu, aksi cemerlang Goh Jin Wei dalam dua siri kejohanan di Korea membolehkan juara remaja dunia dia kali itu tersenarai untuk skuad Piala Uber dan menggalas cabaran perseorangan bersama S. Kisona, Eoon Qi Xuan serta beregu Pearly Tan-M. Thinaah.
BAM turut menampilkan tujuh muka baharu iaitu juara Antarabangsa Belanda, Myisha Mohd. Khairul, Tan Zhing Yi, Anna Cheong, Teoh Mei Xing, Low Yeen Yuan, Valeree Siow dan pemain berusia 17 tahun, Chan Wen Tse. – UTUSAN ONLINE