PETALING JAYA: Lee Zii Jia dan beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terus mengibarkan bendera Malaysia pada kejohanan badminton Terbuka Jerman dengan mara ke separuh akhir di Muelheim an der Ruhr, malam tadi.
Memburu kejuaraan pertama sejak menjuarai gelaran All England tahun lalu, Zii Jia menyingkirkan Zhao Jun Peng dari China 21-12, 21-18 dalam pertarungan 40 minit.
Beraksi dalam kejohanan Terbuka pertama sebagai pemain profesional, jaguh No. 7 dunia itu tiada masalah untuk memenangi set pertama, namun diberi tentangan sengit pada set kedua, termasuk diikat 16-16 sebelum menang 21-18.
Menanti Zii Jia pada separuh akhir hari ini adalah pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang menyingkirkan Kenta Nishimoto dari Jepun 19-21, 21-18, 21-18.
Sementara itu, Sze Fei-Nur Izzuddin mengetepikan rakan senegara yang juga pilihan keenam, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 21-15, 20-22, 21-19 untuk menempah pertemuan dengan beregu China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong pada separuh akhir hari ini.
Terbuka Jerman yang berstatus Jelajah Dunia Super 300 menawarkan hadiah keseluruhan AS$180,000 (RM755,000).
Kejohanan tersebut yang turut disertai pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen menjadi pemanas badan menjelang All England yang akan membuka tirai Rabu depan.
Cabaran dua lagi wakil Malaysia, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing bagaimanapun kandas di suku akhir.
Vivian-Chiew Sien terpaksa akur kepada pilihan utama beregu wanita, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China 15-21, 20-22.
Kian Meng-Pei Jing pula tumpas 11-21, 18-21 kepada pasangan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai yang juga pilihan pertama. – UTUSAN ONLINE