PETALING JAYA: Misi Lee Zii Jia untuk mempertahankan kejuaraan badminton All England berdepan ujian besar hari ini apabila akan berdepan pemain No. 2 dunia, Kento Momota pada suku akhir di Birmingham.
Zii Jia dan Momota bertemu di peringkat yang sama tahun lalu, dan ketika itu Zii Jia menang 21-16, 21-19 dalam laluan merangkul kejuaraan.
Selepas 12 bulan berlalu, kedua-dua pemain akan berentap lagi dan pemenang bakal berdepan pemain sedang meningkat India, Lakshya Sen atau Lu Guang Zhou dari China pada separuh akhir.
Pemain No. 1 dunia, Viktor Axelsen dari Denmark yang memburu tiket final All England buat kali keempat berturut-turut akan bertemu pilihan kelima, Anthony Ginting dari Indonesia, manakala jaguh Taiwan dan pilihan keempat, Chen Tien Chou menentang pilihan ketujuh, Jonatan Christie (Indonesia).
What a beauty from Lee Zii Jia! ???
Follow live action: https://t.co/TjoFnU4PnB
@HSBC_Sport#BWFWorldTour #AllEngland2022 pic.twitter.com/AJSJSQFPi3
— BWF (@bwfmedia) March 17, 2022
Sementara itu, hanya tiga wakil negara berjaya meloloskan diri ke suku akhir hari ini diketuai Zii Jia, Pearly Tan-M. Thinaah (beregu wanita) dan beregu campuran, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Pearly-Thinaah akan menentang pasangan Korea Selatan, Jeong Na Eun-Kim Hye Jeong selepas menumpaskan Rin Iwanaga-Kie Nakanishi dari Jepun 18-21, 21-19, 21-16.
Kian Meng-Pei Jing bakal berdepan cabaran getir juara dunia 2018 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China.
Terdahulu, langkah beregu lelaki utama negara yang juga pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik tersekat di pusingan kedua selepas kalah mengejut kepada pasangan China, He Ji Ting-Tan Qiang 15-21, 19-21.
Turut tersingkir, beregu pilihan kelapan, Ong Yew Sin-Teo Ee yang bertarung sengit sebelum tumpas 22-24, 21-13, 17-21 kepada Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia.
Perseorangan profesional negara, Liew Daren pula ditunjukkan jalan keluar oleh Tien Chen 18-21, 21-13, 21-10.
Baru beberapa bulan bergandingan, Yew Sin-Goh Liu Ying nyata bukan tandingan Siwei-Yaqiong apabila kalah mudah 5-21, 15-21, manakala Praveen Jordan-Melati Oktavianti dari Indonesia menyingkirkan Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 21-16, 21-14 dalam beregu campuran. – UTUSAN
KEPUTUSAN
(pusingan kedua, pemain Malaysia)
PERSEORANGAN LELAKI
Lee Zii Jia kln Brian Yang (Can) 26-24, 21-11; Chou Tien Chen (Tpe) kln Liew Daren 18-21, 21-13, 21-9
BEREGU LELAKI
He Ji Ting-Tan Qiang (Chn) kln Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-15, 21-19; Shohibul Fikri-Bagas Maulana (Ina) kln Ong Yew Sin-Teo Ee Yi 24-22, 13-21, 21-17
BEREGU WANITA
Pearly Tan-M. Thinaah kln Rin Iwanaga-Kie Nakanishi (Jpn) 18-21, 21-19, 21-16
BEREGU CAMPURAN
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kln Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran (Tha) 21-19, 21-17; Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong (Chn) kln Ong Yew Sin-Goh Liu Ying 21-5, 21-15; Praveen Jordan-Melati Oktavianti (Ina) kln Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 21-16, 21-14