PETALING JAYA: Zhafri Yahya tidak rela sekadar menjadi pelengkap, sebaliknya mahu bersaing merebut tempat dalam skuad utama Harimau Malaya.
Bintang tengah Kuala Lumpur City (KL City) itu yang kali pertama mendapat panggilan skuad kebangsaan mahu membuktikan kemampuan kepada barisan kejurulatihan yang diketuai Kim Pan Gon.
Zhafri, 27, juga mempunyai misi tersendiri iaitu membalas kepercayaan peminat yang selama ini memberi ‘tekanan’ kepada barisan kejurulatihan untuk membawanya masuk.
Bagaimanapun, Zhafri mengakui, dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan taktikal Pan Gon walaupun corak latihannya hampir sama dengan Bojan Hodak.
“Menjadi impian saya beraksi untuk Harimau Malaya sejak menyertai KL City. Di bawah Bojan, saya diberi banyak ruang dan peluang buktikan kemampuan,” katanya pada sesi latihan skuad kebangsaan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Mengulas sama ada dia mampu mengikuti corak latihan Pan Gon, Zhafri berkata, segalanya memerlukan proses dan dia kena faham apa yang diinginkan jurulatih Korea Selatan itu.
“Sebagai pemain saya fokus dan beri komitmen 100 peratus terhadap apa jurulatih mahu.
“Saya rasa kaedah latihan Pan Gon lebih kurang dengan Bojan. Pencapaian pertama ingin berada dalam skuad Harimau Malaya, kedua saya ingin sekurang-kurangnya dapat minit permainan,” kata pemain terbaik final Piala Malaysia 2021.
Zhafri yang pada awalnya diletak dalam senarai menunggu, dipanggil menyertai kem latihan pusat, Selasa lalu bagi menggantikan penyerang Petaling Jaya City Darren Lok, yang positif Covid-19.
Malaysia akan berlepas ke Singapura pada 22 Mac untuk menghadapi dua perlawanan Tier 1 menentang Filipina pada 23 Mac, diikuti Singapura (26 Mac) sebelum bertemu kelab Liga Singapura, Albirex Niigata FC pada 28 Mac.