Yusri tidak akan tinggalkan Bos Gaurus - Utusan Malaysia

Yusri tidak akan tinggalkan Bos Gaurus

YUSRI Che Lah tidak berhasrat untuk meninggalkan Perak FC dalam masa terdekat biarpun pasukan itu terus dihambat isu tunggakan gaji. - IHSAN PERAK FOOTBALL CLUB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Biarpun dicengkam isu tunggakan gaji yang menyebabkan Perak FC ‘tenggelam’ dalam dua perlawanan pertama Liga Perdana musim ini, namun Yusri Che Lah tidak akan mengalah, sebaliknya berazam untuk terus melatih 15 pemain.

Kata Yusri, beliau akan terus menggalas tanggungjawabnya, namun dalam masa sama menggesa pihak pengurusan segera menyelesaikan kemelut bagi memastikan Bos Gaurus tidak terus dirundung malang.

Begitupun, jurulatih kelahiran Kangar itu mengakui, jauh di sudut hati beliau terkilan dan menyifatkan apa berlaku cukup mencabar sepanjang kerjayanya.

PASUKAN Perak (kuning) mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Perdana selepas tumpas 3-0 kepada Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus kelmarin. – MINGGUAN/PUQTRA HAIRRY

“Jika tidak mampu bertahan, melangkah keluar mungkin jalan terbaik, namun saya tidak sanggup meninggalkan pemain, jadi saya harap peminat Perak FC faham dan terus menyokong pasukan.

“Pemain masih bermain walaupun tidak dibayar gaji sejak lima bulan lalu,” katanya selepas melihat pasukannya tumpas 0-3 kepada Terengganu FC II dalam saingan Liga Perdana kelmarin.

Ini adalah kekalahan kedua berturut-turut buat Bos Gaurus yang sebelum itu tumpas 1-3 kepada PDRM FC di laman sendiri, 20 Mac lalu.

Yusri berkata, keadaan yang semakin menghimpit menyebabkan Perak FC kini dalam tekanan untuk meneruskan musim 2022 yang baru memasuki dua perlawanan.

Katanya, biarpun pasukan itu dikatakan bakal bertukar pemilik baharu dalam masa terdekat, namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan lanjut, sekali gus menyukarkan mereka membuat perancangan pada jendela perpindahan.

“Mengikut hukuman sekatan perpindahan pemain, pihak pengurusan perlu membuat pembayaran (tunggakan gaji), namun terpulang kepada mereka untuk merealisasikan sebarang perubahan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya