TURIN: Villarreal memanfaatkan semua peluang terhidang pada lewat permainan untuk membenam gergasi bola sepak Itali, Juventus 3-0 di Turin, sekali gus melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara secara agregat 4-1 awal pagi tadi.
Garang di awal permainan dengan memperoleh peluang keemasan menerusi Geronimo Rulli dan Dusan Vlahovic yang terkena palang pada separuh masa pertama, ancaman Juventus bagaimanapun berkurangan memasuki pertengahan perlawanan.
Jaringan Gerard Moreno (penalti minit ke-78), Pau Torres (85) dan Arnaut Danjuma, dua minit memasuki waktu kecederan membawa juara Liga Europa musim lalu, Villarreal mara ke suku akhir buat kali pertama sejak 2009.
Selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi pertama di Sepanyol, tiga minggu lalu, Villarreal yang dibimbing oleh Unai Emery menguatkan pertahanan dengan cuba mencari gol menerusi serangan balas.
Kelab Sepanyol itu berjaya mendahului pada minit ke-78 apabila pemain gantian Francis Coquelin dijatuhkan oleh Daniele Rugani. Penalti diberikan selepas merujuk kepada video bantuan pengadil (VAR).
Moreno yang baru beberapa minit dibawa masuk berjaya menewaskan Wojciech Szczesny dari sepakan penalti.
Torres menggandakan kedudukan lima minit sebelum tamat permainan menerusi rembatan jarak dekat selepas menyempurnakan sepakan penjuru Serge Aurier dan Danjuma mengesahkan kemenangan selesa pada masa kecederaan. – AGENSI