LONDON: Thomas Tuchel tidak menyesal menggantikan Edouard Mendy dengan Kepa Arrizabalaga selepas Chelsea tewas menerusi penentuan sepakan penalti kepada Liverpool dalam perlawanan akhir Piala Liga semalam.
Ketika permainan terikat 0-0 menuju ke minit akhir masa tambahan, Tuchel mengeluarkan Mendy yang beraksi cemerlang sepanjang 120 minit. Ini untuk memberi laluan kepada Kepa dengan harapan penjaga gol Sepanyol itu mampu menyelamatkan penalti lawan.
Malangnya, tiada satu pun sepakan yang diambil 11 pemain Liverpool berjaya diselamatkan Kepa. Sebaliknya dia yang menggalas tanggungjawab mengambil tendangan terakhir Chelsea menendang bola tinggi untuk memberikan kejuaraan kepada lawan.
Liverpool menang 11-10, sekali gus memahat sejarah muncul juara terbanyak dengan sembilan trofi keseluruhan.
Keputusan Tuchel mengeluarkan Mendy dipersoalkan kerana penjaga gol itu membantu Senegal memenangi final Piala Negara-Negara Afrika dalam penentuan penalti bulan lalu.
“Bola sepak boleh menjadi permainan yang cemerlang. Malam ini kami bermain cemerlang. Kedua-dua pasukan memerlukan 11 sepakan penalti untuk menentukan pemenang, jadi tiada kebimbangan atau penyesalan.
“Anda memerlukan tuah, kami menjaringkan tiga gol (ofsaid), mereka (Liverpool) juga mempunyai peluang besar. Seri adalah keputusan yang adil.
“Kami pernah menurunkan Kepa dalam situasi penentuan penalti sebelum ini dan dia menyelamatkan tendangan dengan baik sebab itu saya membuat keputusan ini,” kata Tuchel.
Pengendali dari Jerman itu menggesa penyokong agar berhenti menyalahkan Kepa kerana sebagai pengurus dia orang yang bertanggungjawab membuat keputusan. – AGENSI