Tok Gajah 'semput' sebelum tumpaskan Manjung FC - Utusan Malaysia

Tok Gajah ‘semput’ sebelum tumpaskan Manjung FC

PENJAGA gol Sri Pahang, Mamadou Samassa menumbuk keluar bola ketika diasak pemain Manjung City pada Piala FA di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sri Pahang berdepan laluan cukup sukar untuk layak ke pusingan kedua Piala FA apabila diheret ke penentuan sepakan penalti sebelum menang 5-4 ke atas kelab Liga M3, Manjung City FC di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Penjaga gol import Sri Pahang dari Mali, Mamadou Samassa muncul wira Tok Gajah selepas menyelamatkan sepakan pemain Manjung City, C. Sasikumar dan memastikan kemaraan pasukannya yang sebelum itu diikat 0-0.

Menentang lawan dari liga amatur  di depan hampir 800 penyokong sendiri, anak-anak buah Cristhophe Gamel nyata belum menunjukkan reputasi selaku pasukan elit Liga Super.

Mungkin tanpa perlawanan persahabatan serta dua kali kem Sri Pahang dilanda pandemik Covid 19, kesebelasan Sri Pahang masih tercari-cari rentak persefahaman.

PENYERANG import Sri Pahang, Billy Ketkeophonephone diasak dua pemain Manjung City FC, Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi dan Furqan Azri (kanan) dalam aksi Piala FA di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Sri Pahang yang turun dengan tiga  import, Manuel Hidargo, John Martial dan Billy Ketkeophomphone serta pemain berdarah kacukan Itali-Malaysia, Sean Giannelli gagal melaksanakan tugas yang diberikan dengan berkesan.

Sebaliknya pelawat yang yang dibarisi 100 peratus pemain tempatan lebih dahulu menguji penjaga gol Pahang, Zarif Irfan Hashimuddin melalui sepakan deras Saifuddin Khairil Annuar tetapi tersasar.

Pahang sekali lagi hampir memberikan pelawat gol pertama tetapi tandukan Faizzwan Dorahim pula tepat ke arah penjaga gol Sri Pahang.

Sebelum wisel penamat babak pertama, kesilapan  Zarif menolak bola ke arah pemain lawan selepas berlaku salah faham dengan Muslim Ahmad nyaris dihukum pemain lawan yang menendang bola melepasi palang gol Pahang.

Memasuki babak kedua, Giannelli mencemaskan pasukan lawan tetapi bola sepakannya hanya melepasi palang gol.

PEMAIN Manjung City,  Izzat Mohd. Ramlee (jersi putih) diasak  Syaahir Saiful Nizam dari Sri Pahang di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Samassa dimasukkan selepas menyedari lawan yang belum tewas dalam empat perlawanan di Liga M3 mampu mencalar reputasi Sri Pahang.

Walaupun masa tambahan 30 minit diberikan tetapi kedua-dua pasukan masih gagal untuk mencari gol sehingga pemenang terpaksa ditentukan menerusi penentuan sepakan penalti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya