IPOH: Tiada siapa pun mendapat ‘komisen’ daripada sumbangan yang diberikan oleh Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kepada Perak FC.
Perak FC dalam satu kenyataan di Facebook hari ini berkata, biarpun menjadi amalan mereka memberi insentif sekitar lapan hingga 20 peratus kepada pihak yang berjaya membawa masuk penajaan, namun situasi berbeza dengan dana yang diberikan oleh Tunku Ismail.
Kata mereka, wang yang berikan oleh pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu adalah sumbangan dan bukan tajaan, maka tiada mana-mana pihak berhak menerima ‘komisen’.
“Sebagaimana yang biasa dilakukan oleh IMC dan kebanyakan agensi pemasaran yang lain, Perak FC juga mengamalkan pemberian insentif dalam lingkungan lapan hingga 20 peratus kepada rakan kerja pemasaran atas apa jua penajaan yang berjaya diraih.
“Namun BOD (Lembaga Pengarah) bersetuju bahawa dana yang diterima daripada TMJ diberikan pendekatan berbeza memandangkan ia adalah sumbangan dan bukan tajaan.
“Oleh itu Perak FC berbesar hati untuk mendedahkan akaun kami jika perlu berbuat demikian,” kata Perak FC dalam kenyataan tersebut.
Mereka juga bersedia mendedahkan akaun kelab sekiranya perlu, bagi membuktikan bahawa tiada pemberian komisen atau insentif kepada rakan kerja pemasaran seperti yang didakwa sesetengah pihak.
Terdahulu, akaun Facebook Silver Retro mendedahkan RM400,000 wang sumbangan, dipercayai merujuk kepada bantuan Tunku Ismail kepada Perak FC belum disalurkan kepada pemain dan jurulatih.
“Dikhabarkan 15 peratus daripada sumbangan perlu diberikan pada orang tengah yang mengatur sumbangan ini sebagai ‘Komisen’,” tulis Facebook tersebut.
Semalam, Tunku Ismail mendedahkan beliau telah membantu Perak yang berdepan isu tunggakan gaji pemain selepas didatangani oleh pengurusan pasukan itu beberapa hari lalu. – UTUSAN ONLINE