PETALING JAYA: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi jaminan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim,kementeriannya akan memastikan padang di Stadium Nasional, Bukit Jalil diselia serta dijaga dengan baik.
Beliau akan memastikan penggunaannya untuk aktiviti sukan terlaksana dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga akan bekerjasama rapat dengan pengurusan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi tujuan itu.
“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail, atas kurniaan penajaan penanaman rumput di Stadium Nasional.
“Sesungguhnya kurniaan penajaan Tunku bagi memastikan Stadium Nasional mempunyai padang yang mampu berfungsi untuk perlawanan antarabangsa amat bermakna buat seluruh pencinta bola sepak tempatan; khasnya kepada para pemain negara.
“Ini khasnya setelah Stadium Sultan Ibrahim, yang digunakan pasukan JDT terbukti bertaraf antarabangsa serta diselia rapi,” katanya Ahmad Faizal dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam ciapannya di Twitter, Ahmad Faizal turut menafikan laporan sebuah portal kononnya beliau mahu menentukan sendiri jenis rumput Stadium Nasional, selain meminta supaya pengendali akaun portal berkenaan untuk membetulkan tajuk artikel itu.
“Umum tahu hasrat mulia TMJ@HRHJohorII untuk taja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional yang kita sambut dengan hati terbuka. Tapi saya tidak pernah sebut untuk tentukan sendiri jenis rumput kelak,” menurutnya.
Terdahulu, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), dalam satu hantaran di Instagram berkata, beliau ikhlas mahu menaja kos penanaman rumput baharu di Stadium Nasional.
TMJ juga mahu melawat stadium berkenaan pada 19 Mac depan untuk berkongsi kos serta penyelenggaraan rumput baharu di stadium berkenaan yang dikatakan tidak melebihi RM240,000 setahun.
Khamis lalu, Tunku Ismail dalam kenyataan di Facebook Johor Southern Tigers mengumumkan, beliau mahu menanggung kos pertukaran rumput ‘Cow Grass’ ke jenis ‘Zeon Zoysia’, sama seperti di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebagai hadiah kepada skuad Harimau Malaya.
Sementara itu skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan Gon bakal mengadakan latihan selama lapan hari bermula Isnin ini, untuk menghadapi Siri Tiga-Negara FAS 2022 berdepan Filipina pada 23 Mac dan tuan rumah Singapura (26 Mac).
Pasukan kebangsaan juga akan beraksi dalam Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil menentang pasukan ranking ke-134 dunia, Turkmenistan pada 8 Jun, diikuti Bahrain (89) pada 11 Jun dan Bangladesh (186) pada 14 Jun. – UTUSAN ONLINE