KUALA TERENGGANU: Pasukan Hoki Terengganu (THT) menjulang trofi kedua dalam kempen Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini apabila menumpaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-2 dalam perlawanan terakhir di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini hari ini.
Kejayaan itu juga menamatkan penantian THT untuk muncul juara liga sejak kali terakhir memenanginya pada 2018.
Tiga mata yang dikutip hari ini membolehkan skuad kendalian Roslan Jamaluddin itu menamatkan saingan liga dengan 32 mata selaku juara, manakala TNB jatuh ke tangga kedua mengumpul 30 mata.
Ia gelaran kedua The Turtles musim ini selepas merangkul Piala Sumbangsih bulan lalu, juga menundukkan TNB 3-2.
Awal permainan memihak TNB yang mendahului pada minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti Azril Misron sebelum Muhammad Noor Firdaus Rosdi menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-30.
Memasuki babak kedua, THT memimpin perlawanan apabila Faizal Saari ( m-48) menyambung pukulan adiknya, Mohd. Fitri untuk meletakkan gergasi Pantai Timur itu 2-1 di depan.
Bagaimanapun TNB yang hanya memerlukan satu mata untuk bergelar juara kembali ceria selepas hantaran Muhammad Fahmi Khalid disambar Muhammad Shahril Saabah pada minit ke-54.
Sorakan penonton kembali menggegarkan stadium apabila Faizal menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-57 untuk mengesahkan trofi kedua selepas Piala Sumbangsih, 18 Februari lalu. – UTUSAN ONLINE