KUALA NERUS: Terengganu FC II tidak berdepan masalah melayan kunjungan Perak FC apabila menang 3-0 dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini sebentar tadi.
Tuan rumah tidak menunggu lama untuk mencemaskan pelawat menerusi percubaan berturut-turut Engku Nur Shakir Engku Yaacob dan Jordan Mintah pada minit ke-11.
Petrus Shitembi kemudian memecahkan kebuntuan apabila melakukan sepakan dari luar kotak penalti berpunca hantaran kurang cermat pemain Perak pada minit ke-22.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu semakin selesa mendahului 2-0 menerusi tandukan kemas Mintah (m-57) untuk membolehkan penyerang Ghana itu membuka akaun jaringannya musim ini.
Muhd. Syafik Ismail menambah derita Perak selepas mudah menolak masuk hantaran rendah Engku Nur Shakir dari sebelah kanan pada minit ke-64 dan kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat.
Kemenangan itu menyaksikan TFC II memulakan aksi liga dengan langkah kanan manakala Perak yang serba tempang mengalami kekalahan kedua berturut-turut. – UTUSAN ONLINE