LONDON: Gary Neville tidak yakin dengan kemampuan Arsenal untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara musim depan kerana tidak nampak kelab itu dapat menyerap tekanan dengan baik sejak beberapa bulan terakhir musim ini.
Bekas pertahanan Manchester United itu memberi amaran kepada Arsenal bahawa aksi Liga Perdana Inggeris menentang Aston Villa hari ini akan menjadi ‘ujian sebenar’ mereka.
Skuad bimbingan Mikel Arteta itu mengalami kemerosotan prestasi dalam misi memburu kelompok empat teratas, terutama selepas tewas 0-2 kepada Liverpool di Emirates, Rabu lalu.
Biarpun kekalahan itu menurunkan sedikit semangat pasukan, namun Gunners tetap menjadi pilihan untuk mengatasi Manchester United, West Ham dan Tottenham bagi menyambar slot terakhir ke saingan kelab elit Eropah.
Arsenal masih perlu berdepan United dan Tottenham dalam baki perlawanan, dan Neville mengingatkan kelab London itu agar lebih bijak menangani tekanan sebelum berdepan dua kelab besar tersebut.
“Saya tidak mempercayai Arsenal kerana mereka tidak melakukannya dengan baik dalam 10 perlawanan sebelum ini, malah mereka menerima tekanan penyokong yang tidak mahukan keputusan lain, selain empat teratas.
“Jika Arsenal berjaya mendapatkan tiga mata menentang Villa esok (hari ini), mereka masih menjadi pasukan pilihan.
“Paling penting sekarang adalah untuk menundukkan Villa, lupakan sebentar Chelsea atau Tottenham.
“Prestasi mereka sebagai pasukan pelawat di Aston Villa akan menentukan sama ada Arsenal layak berada dalam kelompok empat teratas atau tidak,” kata Neville. – AGENSI