IPOH: Gabungan Persatuan Penyokong Bola Sepak Perak (TBG Mobs Perak Fans Club) berjaya mengutip RM2,000 untuk tabung bantuan pemain Perak FC setakat ini.
Setiausaha Persatuan, Hakimi Halim berkata, jumlah itu adalah hasil kutipan selama beberapa hari tabung dilancarkan sejak 10 Mac lalu.
“Memang saya tak puas hati dengan jumlah setakat ini. Derma masuk perlahan tetapi hari-hari ada penyumbang,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Hakimi bagaimanapun tidak berputus asa dan akan terus berusaha demi membantu pemain yang sudah tidak menerima gaji dua hingga tujuh bulan.
“Kutipan diteruskan sehingga pemain menerima gaji daripada IMC (Impact Media and Communication Sdn.Bhd.),” kata Hakimi.
Beliau berkata, mereka akan memohon sumbangan orang-orang kenamaan, pihak korporat serta dermawan untuk menambah jumlah kutipan.
Katanya, wang yang dikutip setakat ini dibahagi-bahagikan dalam kalangan pemain Liga Perdana dan Piala Presiden.
Menurutnya, hanya pemain dua pasukan itu masih kekal manakala pasukan Belia sudah pulang ke rumah masing-masing.
“Mereka juga akan menerima bantuan kami ini apabila tiba masa sesuai,” ujarnya.