PETALING JAYA: Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menghampiri gelaran kedua dalam Jelajah Dunia apabila mara ke perlawanan akhir badminton Terbuka Switzerland di Basel pagi tadi.
Cabaran Malaysia pada kejohanan Super 300 itu turut diteruskan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai.
Selepas merangkul kejuaraan Jelajah Dunia pertama pada Terbuka Jerman dua minggu lalu, Sze Fei-Nur Izzuddin tersingkir awal di All England minggu lalu.
Bagaimanapun awal pagi tadi, beregu lelaki No. 18 dunia itu kembali menemui rentak dan tenaga apabila menyingkirkan Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan dari Indonesia 21-18, 21-18.
Sze Fei-Nur Izzuddin yang semakin yakin dalam permainan mereka, kini akan berdepan satu lagi pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto dalam perebutan gelaran malam nanti.
Fajar-Muhammad Rian, pilihan keempat kejohanan terdahulu mara selepas mengejutkan pasangan utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 22-20, 13-21, 21-8.
Ini kemenangan pertama mereka ke atas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu selepas empat kali bertemu.
Berdepan Sze Fei-Nur Izzuddin, Fajar-Rian menang tiga daripada empat pertemuan mereka, namun pasangan Malaysia memenangi perlawanan terakhir di Terbuka Denmark, Oktober lalu.
Sementara itu, Soon Huat-Shevon berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan beregu campuran kerana memiliki rekod baik ke atas lawan mereka hari ini, Mark Lamsfuss-Isabel Lohau.
Soon Huat-Shevon yang menumpaskan rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing 21-17, 24-22 pada separuh akhir, menang dalam kesemua empat pertemuan dengan beregu Jerman itu.
Langkah Malaysia dalam beregu wanita berakhir selepas gandingan Vivian Hoo-Lim Chiew Sien kalah 10-21, 16-21 di tangan pilihan ketiga dari Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva. – UTUSAN ONLINE