PETALING JAYA: Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 yang sebelum ini tertangguh ekoran penularan wabak Covid-19 bakal dianjurkan pada penghujung September ini.
Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma hari ini, temasya tersebut yang dikenali sebagai Sukma XX, MSN 2022 akan diadakan bermula 29 September hingga 8 Oktober ini.
Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju dengan ketetapan mengekalkan peraturan dan syarat had umur yang telah dipersetujui sebelum ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari lepas telah menyokong dan meluluskan penganjuran
“Mesyuarat Jemaah Menteri pada 23 Februari 2022 telah menyokong dan meluluskan penganjuran SUKMA XX pada tahun ini demi memastikan pembangunan sukan di peringkat negeri dilaksanakan secara konsisten agar negara tidak ketandusan atlet yang bakal jadi pengganti untuk bersaing di peringkat tertinggi,” kata Ahmad Faizal Azumu yang mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Sukma XX yang dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) akan mempertandingkan 31 jenis sukan iaitu 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan serta dua sukan demonstrasi – silambam dan kabaddi.
Jawatankuasa Teknikal Sukma pula akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini untuk memutuskan jumlah akhir acara bakal dipertandingkan yang tertakluk kepada jumlah penyertaan minimum lapan negeri untuk setiap sukan dan acara.
Jawatankuasa Tertinggi Sukma juga bersetuju supaya Sukan Para Sukma XX, MSN 2022 dilangsungkan pada 29 Oktober hingga 6 November ini. – UTUSAN ONLINE