PETALING JAYA:Taktikal berbeza yang diserapkan pengendali baharu Harimau Malaya, Kim Pan Gon ketika berdepan Filipina, Rabu lalu meresahkan jurulatih sementara Singapura, Nazri Nasir, apatah lagi melihat rangkaian serangan Malaysia cukup laju.
Nazri mengakui, permainan Malaysia sudah berubah dan pemainnya perlu berwaspada apabila kedua-dua berentap dalam aksi persahabatan Siri Tiga Negara di Stadium Nasional, Singapura malam ini.
Katanya, selepas menonton perlawanan Malaysia dan Filipina yang memihak kepada Harimau Malaya menang 2-0, rangkaian serangan di bawah Pan Gon amat laju.
“Ketika menentang Filipina, kita sedar kebanyakan pemain (Harimau Malaya) beraksi baik untuk memikat jurulatih baharu mereka.
“Pemain seperti Safiq Rahim yang sudah lama tidak bersama skuad kebangsaan turut dipanggil, malah (Mohamadou) Sumareh juga ada dan sudah tentu apabila pemain diberi peluang, mereka akan beri yang sebaik mungkin.
“Saya boleh katakan pemain Malaysia mengalami perubahan yang baik di bawah jurulatih baharu. Mereka tangkas menyerap arahan Kim Pan Gon, terutama di bahagian serangan, jadi kami perlu berhati-hati di posisi itu,” katanya dalam sidang akhbar semalam.
Selain itu, beliau turut menyeru agar penyokong Singapura dapat membanjiri stadium bagi menaikkan motivasi pemainnya.
“Bagi saya bertemu Malaysia memang sesuatu yang istimewa, kami teruja untuk menghadapi perlawanan ini,” katanya. – UTUSAN