DAKAR, Senegal: Berpuluh pancaran laser disasarkan ke muka Mohamed Salah sebelum penyerang itu melakukan tendangan yang tinggi ketika Mesir tewas 1-3 kepada Senegal menerusi penentuan sepakan penalti pada kelayakan Piala Dunia 2022, pagi tadi.
Ini kali kedua dalam tempoh hampir dua bulan Mesir kalah kepada Senegal menerusi penentuan sepakan penalti sejak Senegal menjulang Piala Afrika pada 7 Februari lalu.
Kedua-dua pasukan terikat secara agregat 1-1 selepas gol sendiri Hamdi Fathi pada minit keempat membolehkan Senegal menang 1-0 di Stade Me Abdoulaye Wade.
Mesir sebelum ini menumpaskan Senegal 1-0 dalam perlawanan pertama di Kaherah, minggu lalu.
Ketika saingan memasuki peringkat paling kritikal dengan tiket Piala Dunia menjadi taruhan, penyokong Senegal melakukan apa sahaja untuk mengganggu fokus pemain Mesir.
I mean, just look at this. Salah sails his penalty over… and surely anybody would, given the lasers.
Mane scores, Senegal wins the shootout, Egypt out of the World Cup pic.twitter.com/tgHmCmW8uu
— Henry Bushnell (@HenryBushnell) March 29, 2022
Pancaran laser berwarna hijau disasarkan ke muka bintang-bintang Mesir, terutama Salah, penjaga gol, Mohammed El Shenawy dan Mahmoud ‘Trezeguet’ Hassan sepanjang perlawanan.
Keadaan menjadi semakin buruk ketika saingan memasuki penentuan sepakan penalti, di mana Salah menjadi pengambil pertama.
Salah yang jelas terganggu dengan ‘serangan’ laser penonton tuan rumah melakukan tendangan tinggi yang membawa kepada kekalahan Mesir, sekali gus gagal melayakkan diri ke Piala Dunia 2022 di Qatar.
Rakan sepasukannya di Liverpool, Sadio Mane sebaliknya menyempurnakan penalti buat Senegal untuk membawa negara itu ke Piala Dunia.
Dalam satu lagi playoff kelayakan Afrika, Ghana mara ke Piala Dunia buat kali keempat selepas seri 1-1 dengan Nigeria.
Beraksi di Abuja, Ghana mengesahkan tiket ke Qatar menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas aksi pertama minggu lalu berakhir 0-0. – AGENSI