PALERMO, Itali: Pengurus Itali, Roberto Mancini hilang kata-kata, manakala bintang tengah mereka, Marco Verratti menyifatkan ia malam ‘paling ngeri’ selepas skuad Azzurri kalah 0-1 kepada Macedonia Utara, sekali gus gagal melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.
Pemain Itali diejek penyokong sendiri sejurus tamat perlawanan di Stadium Renzo Barbera, Palermo, dan juara Eropah itu kini perlu menunggu empat tahun lagi atau 12 tahun secara keseluruhan untuk beraksi di pentas Piala Dunia 2026.
Permainan bertahan Macedonia mengecewakan juara dunia empat kali itu, dan gol Aleksandar Trajkovski di waktu kecederaan memberi kekalahan pertama Itali dalam 60 aksi kelayakan di laman sendiri.
Bagi Macedonia, negara dengan dua juta penduduk yang menghuni ranking ke-67 dunia (61 anak tangga di bawah Itali), mereka akan berdepan Portugal pada final playoff, Selasa ini bagi memburu tiket ke Qatar.
“Sukar untuk mengatakan sesuatu sekarang, saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan.
“Musim panas lalu detik paling indah (muncul juara Eropah), kini datang kekecewaan terbesar.
“Saya amat bersimpati dengan pemain, saya menyayangi mereka malam ini lebih banyak berbanding pada Julai lalu (ketika menang di England).
“Saya jurulatih, orang pertama yang bertanggungjawab, bukan pemain,” kata Mancini.
Itali melancarkan 32 percubaan ke gawang Macedonia berbanding hanya lima dilakukan lawan.
Bukan kerana penjaga gol pelawat, Stole Dimitrievski beraksi cemerlang tetapi Azzurri sendiri mensia-siakan banyak peluang.
“Sukar untuk difahami. Kami mendominasi perlawanani dan sepatutnya menang.
“Kami sepatutnya menjaringkan gol awal dan menamatkan permainan kerana kami lebih hebat. Inilah bola sepak, ia boleh menjadi klinikal atau kejam. Ia sangat sukar dijelaskan, mimpi ngeri,” kata Verratti.
Bintang Chelsea, Jorginho antara yang paling terkesan dengan kekalahan itu kerana dia gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika pasukannya seri dengan Switzerland, November lalu yang memaksa mereka beraksi di playoff. – AGENSI