KUALA SELANGOR: Apabila memilih untuk beralih kepada profesional, Lee Zii Jia juga perlu lebih ‘pro’, berdikari dan meningkatkan permainannya, kata legenda badminton negara, Datuk Rashid Sidek.
Kata Rashid, biarpun mempunyai jurulatih peribadi, Indra Wijaya, namun sebagai seorang pemain profesional, prestasi Zii Jia banyak bergantung kepada diri sendirinya sendiri.
Menurut Rashid, prestasi jaguh perseorangan negara itu ‘memuaskan’ sejak dia memilih untuk meninggalkan skuad kebangsaan bulan lalu, biarpun masih gagal merangkul kejuaraan pertamanya sejak bergelar juara All England 2021.
“Bila dia turn to pro (beralih ke profesional), kena lebih berdikari kena fikir sendiri macam mana hendak tingkatkan penguasaan kemahiran, cara berfikir pun kena profesional, bila ada masalah kena selesaikan sendiri.
“Memanglah ada jurulatih, tetapi prestasi dia lebih bergantung kepada diri sendiri. Salah satu mungkin tertekan, sebab pressure (tekanan) itu berbeza dari dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan luar,” katanya semalam.
Rashid berkata, permainan yang ditonjolkan Zii Jia dalam kejohanan All England minggu lalu adalah ‘baik’, sekalipun dia kandas 21-13, 12-21, 21-19 di separuh akhir kepada pemain muda India, Lakshya Sen.
Seminggu sebelum kejohanan di Birmingham itu, langkah Zii Jia, yang menghuni ranking ketujuh dunia disekat pemain muda Thailand, Kunlavut Vitidsarn pada separuh akhir Terbuka Jerman, kejohanan Jelajah Dunia pertamanya sejak keluar dari skuad kebangsaan.
Mengulas prestasi seorang lagi perseorangan negara, Ng Tze Yong yang tewas 18-21, 21-13, 21-12 kepada Jonatan Christie dari Indonesia di pusingan kedua Terbuka Switzerland kelmarin, Rashid percaya, pemain berusia 21 tahun itu semakin menunjukkan peningkatan.
“Kita tak boleh harapkan dia terus menang dengan pemain utama, namun sekurang-kurangnya peningkatan itu ada dan sedikit demi sedikit belajar dari situ.
“Saya lihat dia memang pemain yang bagus untuk disandarkan bagi mendapatkan mata dalam kejohanan utama seperti Piala Thomas. Tze Yong boleh diharapkan,” jelasnya.
Sejak Zii Jia meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tze Yong kini menggalas tugas sebagai perseorangan utama skuad kebangsaan. – UTUSAN